Pengunjung memilih barangan asas ketika program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Aidilfitri DUN Sungai Tua di Gua Damai Extreme Park, Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves pada 7 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sempena Aidiladha, negeri anjur JER mega Jumaat, Sabtu

SHAH ALAM, 12 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega sempena Aidiladha dianjur di enam lokasi pada Jumaat dan Sabtu ini, untuk meringankan persiapan keperluan dapur menyambut perayaan.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan di Facebook, jualan murah barangan asas bertempat di dataran Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan (Pandan Indah), dataran Pantai Batu Laut Tanjong Sepat (Tanjong Sepat) dan pekarangan kompleks penghulu mukim Hulu Langat (Dusun Tua).

Jualan pada Sabtu diadakan di laman Boungainvillea Kampung Sungai Kertas Batu Caves (Sungai Tua), pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN KKB (Kuala Kubu Bharu) dan tapak pasar malam Taman Kem (Pelabuhan Klang).

Sempena sambutan Aidilfitri pada April lalu, Kerajaan Negeri menganjur jualan mega di 18 lokasi bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah berbelanja keperluan raya.

Lima barangan utama iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras dijual pada harga bersubsidi melibatkan peruntukan sebanyak RM296,439.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sepanjang tahun ini, JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawanganpasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :