Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas bergambar bersama penaja ketika majlis prapelancaran kejohanan Selangor International Race (SIR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 11 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Seribu pelumba sertai kejohanan berbasikal PKNS, rebut hadiah RM100,000

SHAH ALAM, 11 JUN: Seramai 1,000 pelumba basikal tempatan dan luar negara bakal merebut kejuaraan Selangor International Race (SIR) 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 23 Jun.

Memasuki tahun kedua, acara itu menurut ketua pegawai eksekutif kumpulan PKNS menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 membabitkan dua kategori perlumbaan iaitu profesional dan amatur.

Dato’ Mahmud Abbas menjelaskan agensi hartanah negeri itu komited membangunkan sukan berbasikal di peringkat tempatan dan antarabangsa, selain menarik minat masyarakat untuk bersukan.

“Selain itu, SIR turut membantu memacu ekonomi setempat apabila meningkatkan perbelanjaan pelancongan dalam pelbagai aspek seperti penginapan, makanan dan perkhidmatan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas bergambar bersama duta SIR ketika majlis prapelancaran kejohanan Selangor International Race (SIR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 11 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Tambahan aktiviti ekonomi dalam sektor ini bukan hanya memanfaatkan pemilik perniagaan, malah pekerja tempatan yang mungkin mendapat peluang pekerjaan sementara,” katanya ketika berucap.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis prapelancaran program berkenaan dan memperkenal lima barisan duta SIR di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Selain Malaysia, SIR 2024 bakal menghimpunkan pelumba basikal dari Britain, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Jerman.

Acara melibatkan laluan sejauh 145km bermula dari ibu pejabat PKNS dan merentasi lebuh raya, laluan berbukit serta projek perbandaran PKNS seperti Kota Puteri, pekan ljok dan berakhir di Shah Alam.

Penganjuran SIR 2024 turut mendapat kerjasama daripada Selangor Youth Community (SAY), Cycling Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Arena Asia Malaysia.


Pengarang :