Gambar struktur portal pada persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras yang dikongsi di media sosial. Foto Facebook Media Selangor
AGENDANASIONAL

Tiada keretakan, struktur portal Lebuhraya SPE selamat

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tiada keretakan pada persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras, di sini.

KKR menerusi kenyataan ringkas di platform X hari ini, memaklumkan pemeriksaan pada 11.30 malam tadi mendapati ia hanya kesan garisan hitam iaitu sendi pembinaan semasa kerja konkrit yang dibuat dahulu.

“Konsultan juga telah mengesahkan struktur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat. Satu laporan pemeriksaan dan pengesahan selamat akan disediakan dan dikemukakan kepada LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia),” menurut kenyataan itu.

KKR memaklumkan pemeriksaan itu dibuat oleh LLM, syarikat konsesi SPE dan pihak konsultan EDP, selain turut dimuat naik di platform media sosial itu ialah gambar semasa pemeriksaan dilakukan.

Semalam, seorang pemilik akaun X menyuarakan kebimbangan kemungkinan terdapat keretakan di jejambat tersebut berdasarkan dua keping gambar yang didakwa dirakamkan pada April lepas dan bulan ini

Ciapan itu mendapat reaksi Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengarahkan LLM dan syarikat konsesi SPE membuat pemeriksaan dan penilaian segera di lokasi itu, kerana keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya menjadi keutamaan.

SPE yang dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat serta menghubungkan beberapa lebuh raya lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

-BERNAMA


Pengarang :