Ahli Dewan Negeri Balakong Wayne Ong Chun Wei (dua, kanan) bergambar bersama ahli jawatankuasa Surau An Nuriah Taman Cheras Jaya selepas melawat surau berkenaan bagi melihat bumbung yang siap dibaiki pada 19 Jun 2024. Foto Facebook Wayne Ong Chun Wei
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Balakong sumbang RM9,000 tampung kos baiki bumbung surau

SHAH ALAM, 20 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menyumbangkan RM9,000 bagi menampung kos membaik pulih bumbung Surau An-Nuriah, Taman Cheras Jaya.

Wakil rakyatnya Wayne Ong Chun Wei berkata bumbung surau berkenaan diterbangkan angin dalam kejadian ribut pada 29 Mei.

“Saya telah melawat surau sehari selepas kejadian dan berjumpa dengan ahli jawatankuasa surau dan saya mendapati pengurusan surau ada kekangan kewangan untuk membaiki bumbung ini.

“Saya guna peruntukan DUN untuk baik pulih bumbung secepat mungkin bagi memastikan orang ramai selesa menggunakan surau ini,” katanya ketika dihubungi.

Chun Wei berkata bumbung surau berkenaan kini siap sepenuhnya selepas tiga minggu kerja baik pulih dijalankan.

“Semalam, kami telah mengadakan lawatan ke surau dan mendapati bumbung telah siap. Kita harap semua kariah dapat beribadah dengan selesa selepas ini,” katanya.


Pengarang :