Pengerusi Puspanita Selangor Datin Setia Padiah Safian (tengah) bersama tetamu pada Majlis Sambutan Hari Wanita 2024 anjuran Puspanita-IRIS MBPJ di Dewan Banquet MBPJ pada 5 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

500 serikan majlis Sambutan Hari Wanita Petaling, saji pelbagai acara

SHAH ALAM, 5 JULAI: Seramai 500 wanita dirai pada Majlis Sambutan Hari Wanita 2024 daerah Petaling di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Selangor Datin Setia Padiah Safian berkata program anjuran kelab wanita IRIS-MBPJ mendapat kerjasama Puspanita Petaling.

“Tema ‘Inspirasi Keterangkuman’ dipilih selaras dengan sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2024 iaitu ‘Wanita Di Julang, Negara Gemilang’ yang memberi penekanan pentingnya usaha memartabatkan kaum hawa bagi mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan gender.

“Agenda membangunkan wanita merupakan tanggungjawab bersama semua pihak. Justeru, hari ini kita melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu, memperkasa, mengiktiraf kebolehan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Pengerusi Puspanita Selangor Datin Setia Padiah Safian (tengah) bersama penerima anugerah Ikon Istimewa Aspirasi Wanita ketika Majlis Sambutan Hari Wanita 2024 anjuran Puspanita-IRIS MBPJ di Dewan Banquet MBPJ pada 5 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pelbagai pengisian menarik sepanjang majlis dari 9 pagi hingga 5 petang antaranya program bual bicara bersama ikon wanita iaitu juruterbang wanita golongan orang kenamaan (VVIP) Mejar Nittakorn Chamrat.

Turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan ‘Wanita Inspirasiku’, pemberian sijil pengiktirafan dan penghargaan Anugerah Ikon Aspirasi Wanita.

Majlis turut memberi penghormatan kepada mantan ahli MBPJ, Ermeemarianna Saadon yang meninggal dunia awal Februari lalu.

Program itu juga diselitkan dengan pameran, jualan usahawan wanita dan ceramah kesihatan termasuk senamrobik ‘Wanita Aktif Wanita Cergas’.

Tambah Padiah, program itu bertujuan menyebar luas maklumat kepada kaum hawa dan masyarakat berkaitan peluang penyertaan dalam pelbagai bidang.

“Diharap dengan penganjuran program ini dapat mengeratkan ukhwah antara Puspanita Petaling dan IRIS-MBPJ pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :