EXCO Pembangunan Belia Najwan Halimi bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad ketika pelancaran BA.CA Basikal Buku sempena majlis perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

BA.CA Basikal Buku, khidmat perpustakaan bergerak terbaharu PPAS

SHAH ALAM, 26 JUL: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) melancarkan perkhidmatan perpustakaan bergerak, BA.CA Basikal Buku bagi meluaskan capaian perkhidmatannya.

Ketua bahagian korporatnya Zafrullah Aris berkata perkhidmatan terbaru PPAS yang beroperasi Ogos ini adalah inisiatif galakan membaca dan gaya hidup sihat dalam masyarakat.

Katanya ia disediakan bagi menyantuni masyarakat terutama di kawasan luar bandar dan memberi akses bahan bacaan lebih mudah kepada rakyat.

“Ia satu lagi perkhidmatan perpustakaan bergerak tetapi dalam skala kecil menggunakan basikal untuk capaian di kawasan yang tidak mempunyai ruang besar seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan luar bandar.

“Konsepnya masih sama, bergerak mengikut jadual ditetapkan dan pengguna boleh meminjam bahan bacaan,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran yang disempurnakan EXCO Belia Najwan Halimi sempena Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2024 di sini, semalam.

Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Berlangsung lima hari hingga Ahad pesta buku anjuran PPAS itu menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik selain dimeriahkan dengan aktiviti untuk seisi keluarga selain menawarkan hadiah wang tunai RM50,000.

Sempena pesta buku itu, peminat kartun dan siri animasi juga berpeluang menyaksikan proses kreatif penghasilan watak kartun ikonik Malaysia.

Antara kartunis dan ilustrator yang mengambil bahagian ialah pelopor komik gerak, Tunku Yusrina Tunku Nazrin, tokoh kartunis ikonik, Imuda dan artis komik Shamsaimun Ezil atau Along Sam yang sinonim dengan watak superhero ‘Keluang Man’.

Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Najwan Halimi bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad ketika majlis perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pengarang :