EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (tengah) bersama Pengerusi Gerakkan STEM Negara Dato’ Prof Dr Noraini Idris pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pementasan Mini Teater STEM di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK Selangor pada 3 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

EXCO: STEM jadi agenda utama negeri, iktiraf bakat, kemahiran generasi muda

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di setiap peringkat pendidikan sehingga ke sektor industri.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pelaburan besar yang diterima negeri adalah bukti jelas pengiktirafan terhadap bakat dan kemahiran dimiliki generasi muda Selangor.

“Pentingnya pendidikan dalam bidang STEM tidak boleh dipandang ringan. Dalam era revolusi kecerdasan buatan (AI) yang pesat, permintaan tenaga kerja berkebolehan terhadap STEM semakin meningkat.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pementasan Mini Teater STEM di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK Selangor pada 3 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“STEM juga memainkan peranan penting sebagai pemangkin ekonomi dunia, dan sebagai salah satu negeri termaju di Malaysia, Selangor menegaskan bahawa STEM adalah agenda utama Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Dato’ Menteri Besar bagi merasmikan pertandingan pementasan mini teater STEM Selangor di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.

Program anjuran Persatuan STEM Kebangsaan itu membabitkan 16 sekolah menengah seluruh Selangor yang akan membangunkan produk inovasi dan penghayatan konsep STEM menerusi pementasan teater.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata program berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk menggabungkan pelbagai kemahiran secara holistik dalam satu ruang komprehensif.

“Agenda untuk membangunkan sumber insan berfikiran saintifik serta berhati kemanusiaan merupakan antara objektif utama kerajaan Madani yang diilhamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.


Pengarang :