DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 26 Februari 2024. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
BUDAYARENCANA

Institusi beraja Malaysia warisan sejarah, berlandas Perlembagaan

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Institusi beraja di Malaysia merupakan satu warisan yang bertapak sejak beberapa abad lamanya, dengan sejarah kerajaan awal, seperti Langkasuka, Kedah Tua dan Gangga Negara yang muncul sekitar abad kedua hingga abad ketujuh.

Kesultanan Kedah Tua umpamanya yang bermula sekitar 1136 Masihi, bukan sahaja dikenali sebagai kesultanan tertua di negara ini, bahkan dikagumi antara kesultanan tertua di dunia.

Sejarah awal inilah yang menjadi asas kepada sistem beraja di Malaysia dengan membawa kepada kemunculan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang masyhur kedudukannya kerana memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam di Nusantara dan sebagai pusat perdagangan maritim.

Ia bagaimanapun mengalami era kejatuhan pada abad ke-16 dan selepas itu membawa kepada kemunculan kesultanan lain yang pada asalnya mempunyai hubung kait dengan Melaka iaitu Kesultanan Johor, Perak dan Pahang.

Semua kesultanan ini mengambil alih peranan dalam sistem perdagangan dan politik di Tanah Melayu, namun menerima tamparan hebat dengan kemunculan pengaruh kolonial pada abad ke-19.

Jika sebelum era penjajahan, sistem beraja meletakkan kedudukan raja sebagai yang paling berkuasa dan tertinggi dalam pemerintahan dengan dibantu oleh para pembesar istana, ia bagaimanapun berevolusi atas faktor tuntutan dan perubahan masa.

Namun apa yang mengagumkan, institusi beraja kekal utuh sebagai sumber utama pentadbiran negara selepas merdeka walaupun menempuhi beberapa episod zaman penjajahan dan pentadbiran kuasa asing dalam tempoh yang lama oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun.

Buktinya, sehingga ke hari ini, institusi beraja tetap terjamin kedudukannya dalam konsep sistem Raja Berperlembagaan yang mula diperkenalkan pada 1957, iaitu setelah negara mencapai kemerdekaan.

Tiga peringkat, unik

Menurut Pakar Perlembagaan Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, perkembangan berlaku apabila institusi beraja berubah kepada sistem Raja Berperlembagaan yang merujuk kepada sistem pemerintahan negara yang diperintah oleh raja, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks ini, Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan.

“Kalau kita lihat kepada prinsip Raja Berperlembagaan, ia lebih kurang sama dengan sesetengah negara lain kerana bila kita sebut sahaja Raja Berperlembagaan, maksudnya negara itu mempunyai perlembagaan yang meletakkan hak, kuasa, tanggungjawab atau peranan tertentu kepada institusi beraja.

“Terdapat tiga peringkat institusi beraja yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu institusi beraja di negeri-negeri, institusi Yang di-Pertuan Agong di peringkat persekutuan dan institusi Majlis Raja-Raja.

“Pemasyhuran institusi beraja tersebut dinyatakan dalam perlembagaan sekali gus menyatakan soal kuasa dan peranannya mengikut kesesuaian pemasyhuran dan kedudukannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Shamrahayu berkata, sistem beraja di negara ini dikatakan unik kerana terdiri daripada peringkat negeri (Duli-Duli Yang Maha Mulia dan Raja-Raja Pemerintah); di peringkat persekutuan (Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara) dan seterusnya Majlis Raja-Raja atau Conference of Rulers yang boleh dikatakan tiada negara di dunia ni yang mempunyai sistem sebegini untuk raja-raja pada peringkat negeri berkumpul, bermuafakat dalam satu institusi.

“Pemilihan yang di-Pertuan Agong dibuat oleh Majlis Raja-Raja pada setiap lima tahun atau dalam tempoh masa yang lebih singkat sekiranya raja itu tidak dapat bersemayam di atas takhta baginda atas faktor kesihatan dan sebagainya,” katanya menambah, walaupun ia Majlis Raja-Raja namun terdapat gabenor atau Tuan Yang Terutama atau Yang di-Pertua bagi negeri-negeri yang tidak beraja yang menjadi ahli kepada institusi itu.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad ketika ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang pada 2 September 1957

Imbangi amalan demokrasi

Menyifatkan institusi beraja sebagai tunjang kepada penubuhan dan pembinaan negara, Shamrahayu berkata, ia juga sumber rujukan tertinggi dan tiang kepada kedaulatan, maruah dan kekuatan bangsa dari dahulu sehingga kini.

Katanya, institusi beraja melambangkan negara mempunyai amalan warisan dan tradisi yang terus dikekalkan bukan sahaja dalam aspek adat tetapi juga perundangan negara.

“Negara kita mengamalkan sistem beraja dan pada masa yang sama kita juga mengamalkan sistem demokrasi.

“Justeru, walaupun ada pemimpin demokrasi (Perdana Menteri) namun institusi beraja berperanan menjaga kepentingan rakyat dan menjadi pengimbang kepada amalan demokrasi supaya ia boleh dikawal dan terpimpin dari segi menjaga kehidupan sosial termasuklah kedudukan agama dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata, institusi beraja bukan simbol semata-mata, sebaliknya sebuah institusi yang memancurkan perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Masyarakat Malaysia beraneka ragam perbezaan tetapi dengan adanya institusi beraja, perpaduan itu boleh dipusatkan atau dirujuk kepadanya (institusi beraja). Dalam konteks perpaduan, baginda merupakan pancuran keadilan ‘the Fount of Justice’ untuk kesemua perbezaan yang terdapat dalam negara sama ada dari segi agama, kebudayaan, asal-usul, keturunan dan sebagainya.

“Institusi beraja merupakan payung ke atas segala aneka ragam yang membolehkan perbezaan itu didamaikan dan disatukan di bawah konsep naungan raja di peringkat negeri atau pada peringkat persekutuan.

“Selain itu, hubungan antara negara di peringkat antarabangsa juga boleh menampilkan institusi beraja sebagai lambang kedaulatan negara,” katanya.

Menurut Shamrahayu lagi, walaupun institusi beraja bersandarkan kepada peruntukan perlembagaan namun terdapat beberapa keadaan tertentu yang masih mengekalkan atau merizabkan kuasa dan hak baginda mengikut adat dan istiadat atau resam negara.

“Dalam perlembagaan wujud antara kuasa-kuasa yang boleh dilaksanakan mengikut kuasa budi bicara baginda. Maksudnya baginda tidaklah bertindak atas nasihat pemain demokrasi atau pemimpin negara yang dipilih melalui kaedah demokrasi. Contohnya, kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang boleh mengisytiharkan keadaan darurat dan kuasa baginda itu tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

“Begitu juga dalam proses lantikan ketua kerajaan. Ini juga diberikan perizaban kepada kuasa raja yang boleh bertindak atas budi bicara baginda.

“Ini menunjukkan kuasa politik itu ada yang berubah dan ada yang tidak berubah mengikut perkembangan institusi beraja dan melihat kedudukannya sebelum penjajahan, semasa penjajahan, selepas penjajahan dan selepas kemerdekaan,” katanya menambah, terdapat beberapa peruntukan dalam perlembagaan dipinda bagi memastikan institusi beraja kekal relevan dalam sistem demokrasi.

Depani cabaran semasa

Menyentuh cabaran institusi beraja, beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan yang dilalui oleh institusi tersebut pada satu-satu masa namun yang menjadi keutamaan ialah mendepaninya dengan kebijaksanaan atau hikmah yang perlu ada pada rakyat mahupun institusi beraja itu sendiri.

Katanya, dalam usaha menjaga kedaulatannya agar terus relevan dan tidak tercemar dengan tindakan tidak sewajarnya oleh segelintir pihak, aspek pendidikan adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan.

“Ini merangkumi pendidikan awal di peringkat sekolah dan bersifat sepanjang hayat dalam memahami sejarah, peranan dan sumbangan serta fungsi institusi beraja dalam situasi semasa.

“Pendidikan tidak formal atau public scholarship terutama media berperanan mendidik masyarakat melalui laporan penceritaan pelbagai dimensi sejarah, peranan, sumbangan serta kerelevanan perihal institusi beraja sebagai rujukan bagi ‘jalan keluar’ kepada permasalahan yang melibatkan ekonomi, sosial dan politik negara,” katanya.

Berpendapat agensi kerajaan perlu sentiasa menganjurkan program atau kursus bersifat menyeluruh bagi tujuan mengukuhkan teras negara beliau berkata, pendidikan berhubung institusi beraja juga perlu diterapkan kepada agensi bukan kerajaan, terutamanya syarikat transnasional bagi memperkenalkan identiti negara.

Ujarnya, manfaat yang diraih daripada kestabilan negara seharusnya disumbangkan kembali termasuk dalam aspek pengukuhan institusi beraja, seiring prinsip Rukun Negara yang kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Beliau pada masa sama berkata, pengukuhan undang-undang termasuk penekanan aspek 3R (kaum, agama dan raja) turut membantu melindungi institusi berkenaan.

“Walaupun undang-undang ini bukanlah penyelesaian menyeluruh kepada penghinaan terhadap institusi beraja sebab penghinaan itu sudah berlaku, namun kita mahu lihat adakah undang-undang berkaitan berkesan untuk menghukum mereka yang menghina institusi beraja di samping menyedarkan mereka taat setia kepada raja.

“Undang-undang ini ada pelbagai dimensi. Satu undang-undang yang menghukum dan satu lagi perlu juga difikirkan bagaimana untuk merealisasikan undang-undang yang mengawal tata kelakuan sosial masyarakat, the social behaviour seseorang itu sebagai warganegara atau penduduk di tanah air ini supaya ada tindakan yang mencegah mereka daripada melakukan sesuatu yang memberi implikasi buruk terhadap institusi beraja.

“Terdapat pelbagai kaedah dan amalan yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat serta organisasi selain undang-undang bagi memastikan kedaulatan institusi beraja difahami dan dihayati oleh masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Inspirasi perpaduan rakyat

Berharap agar institusi beraja di negara ini kekal utuh dan teguh di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Shamrahayu pada masa sama berharap agar ia terus menyumbang kepada ketenteraman, kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat dan negara.

“Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai payung negara sentiasa menjadi inspirasi kepada perpaduan, teladan dan rujukan rakyat. Rakyat sentiasa mengharapkan institusi beraja ini berada dalam keadaan sihat sejahtera yang membolehkan baginda membuat keputusan atau membicarakan isu secara hikmah dan berlandaskan syariah serta peraturan dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

“Rakyat berperanan memahami dan menghayati sumbangan yang telah dibuat oleh institusi beraja sejak kesultanan awal negara. Harapan saya sistem pemerintahan yang berasaskan kepada raja atau institusi beraja ini akan sentiasa dapat bersama-sama dengan institusi demokrasi yang telah diamalkan sekian lama.

“Di samping itu, jurang antara institusi beraja dan kerajaan ataupun mereka yang dipilih melalui proses demokrasi ini sentiasa dirapatkan supaya manfaat kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat sentiasa dapat dijaga sebaik mungkin oleh institusi beraja dan juga institusi demokrasi.

“Kita mempunyai sejarah yang panjang dan perlu memastikan institusi beraja ataupun kesultanan yang ada sebagai sebahagian daripada identiti nasional dan budaya Malaysia. Institusi beraja sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, hendaklah terus dihormati serta dijunjung tinggi,” katanya.

Malaysia bakal melakar detik bersejarah dalam sistem Raja Berperlembagaan pada 20 Julai ini dengan istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Bakal berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, segala persiapan diatur rapi dan teliti untuk memastikan istiadat yang akan menonjolkan keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia berlangsung sempurna kerana ia bukan sahaja menjadi tumpuan rakyat tempatan, bahkan masyarakat luar negara.

– BERNAMA

 


Pengarang :