Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah sempena program Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Seri Setia di Tapak Parkir Dewan D’Kelana, Kelana Jaya pada 07 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/ MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jeram, Sekinchan antara empat lokasi jualan murah barangan dapur pagi ini

SHAH ALAM, 23 JULAI: Program jualan murah barangan dapur kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di empat lokasi, esok.

Bermula 10 pagi, Jualan Ehsan Rahmah (JER) bertempat di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 (Kota Anggerik), Pasar Bunian Parit 9 (Sekinchan), pekarangan pusat khidmat DUN (Jeram) dan tapak pasar malam hari Jumaat (Sentosa).

Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :