AGENSISELANGOR

Kanak-kanak lahir Julai diraikan dalam pesta buku Sabtu ini

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun yang lahir Julai berpeluang menyambut ulang tahun kelahiran mereka di Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor, Sabtu ini.

Terhad kepada 30 kanak-kanak dengan tema pakaian hijau atau kuning, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memaklumkan mereka akan dirai di pentas utama Kompleks PKNS Shah Alam.

“Istimewa buat buat kanak-kanak yang lahir bulan Julai, untuk pendaftaran sila imbas kod QR di poster.

“Temui kami dan rakan agensi kami di Pesta Buku Kanak-kanak Selangor dari 24 sehingga 28 Julai  di Kompleks PKNS Shah Alam. Datang beramai-ramai ya,” katanya.

Selain acara utama memotong kek, kanak-kanak juga berpeluang mengikuti pelbagai acara menarik antaranya aktiviti bersama Carrie Junior, pertunjukan badut dan silap mata.

 

Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor yang membuka tirainya hari ini hingga Ahad mulai 10 pagi hingga 10 malam menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik dan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.

Sepanjang lima hari berlangsung, pesta itu juga menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 dengan 20 pemenang akan ditentukan secara rawak setiap hari menerusi proses cabutan.

Selangor julung kali menganjurkan pesta buku kanak-kanak pada Julai tahun lepas bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.

Negeri ini juga sejak 16 tahun lalu turut mengadakan Pesta Buku Selangor yang dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai 2022.


Pengarang :