Bekas Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar berucap dalam ceramah kelompok pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap pada 29 Jun 2024. Foto Facebook Noh Omar
AGENDANASIONAL

KEADILAN: Kemasukan Noh Omar antara usaha jatuhkan Azmin dalam pemilihan Bersatu

SHAH ALAM, 5 JULAI: Penyertaan Tan Sri Noh Omar Bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka memburukkan lagi perebutan kuasa parti itu, dakwa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor.

Kemasukan bekas Pengerusi Umno Selangor itu dipercayai satu usaha menggugat kedudukan Pengerusi Bersatu negeri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelang pemilihan parti itu, kata Pengarah Strategi KEADILAN Selangor.

“Noh Omar yang merupakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak, dipercayai dibawa masuk bagi memperkukuhkan kedudukan pimpinan utama Bersatu yang mahu menjatuhkan Mohamed Azmin terutama menjelang pemilihan parti itu yang dijangka berlangsung pada tahun ini.

“Mohamed Azmin seperti yang diketahui umum tidak mempunyai hubungan politik yang baik dengan Noh Omar, malah Mohamed Azmin Ali yang mula-mula menggelar mantan Ahli Parlimen Tanjung Karang itu sebagai ’Noh Udang’ sebelum menjadi sensasi di media social,” kata Saifuddin Shafi Muhammad dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya,KEADILAN Selangor melihat perkembangan ini sebagai satu lagi episod pertembungan terbuka Bersatu Selangor selepas Ahli Dewan Negeri Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari dihukum keluar parti.

“…satu lagi episod pertembungan terbuka Bersatu Selangor selepas Abdul Rashid menyatakan bahawa Mohamed Azmin seorang pembuli sehingga menjadi salah satu sebab beliau menyatakan sokongan kepada kepimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Dato’ Menteri Besar Selangor yang membawa kepada pemberhentian keanggotaan beliau dalam Bersatu.

“Sebagaimana nasib Abdul Rashid yang dihumban oleh orang baru, Mohamed Azmin akan terima turut menerima nasib sama dengan kemasukan Noh Omar,” katanya yang turut yakin percakaran sesama sendiri akan terus membongkar wajah sebenar Bersatu yang tamakkan kuasa semenjak Langkah Sheraton lagi.

Semalam, media melaporkan Noh menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

“Buat anggota-anggota Bersatu Selangor, ’tahniah’ diucapkan. Perginya Abdul Rashid yang merupakan antara pendiri awal Bersatu diganti Noh. Moga moga kalian semua tidak terhambat dek sikap pembuli Mohamed Azmin,” tulis Shaifuddin lagi.


Pengarang :