Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Sesi Dialog Khas Malaysia Destinasi Pilihan Pelabur: “Manfaat Ekonomi Untuk Kemakmuran Bersama” di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kedudukan strategik Selangor galak pelaburan, tingkat ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kedudukan geografi yang strategik menjadi antara faktor Selangor mampu membangun pesat hingga menjadi penyumbang tertinggi ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata limpahan ekonomi diterima ketika ini juga hasil pengiktirafan Subang Jaya dan Petaling Jaya sebagai bandar satelit pada era 1960-an.

“Subang, Petaling Jaya jadi titik tengah ibu kota dan pelaburan mula masuk ke negeri ini. Jadi ini beri kelebihan terutama melibatkan kemasukan trend mega ekonomi yang berterusan hingga kini termasuk pembangunan sektor pengangkutan.

“Kita ada lapangan terbang di Subang, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (Sepang) dan pelabuhan di Klang. Jaringan rangkaian ini memberi kelebihan selain disokong sektor lain,” katanya ketika menjadi panel pada sesi dialog di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Peserta Sesi Dialog Khas Malaysia Destinasi Pilihan Pelabur: “Manfaat Ekonomi Untuk Kemakmuran Bersama” di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dalam majlis sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) 2024 itu, Amirudin berkata kemunculan pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk kolej antarabangsa membantu negeri melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan pasaran.

“Kita ada banyak universiti awam antaranya Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia malah ada universiti antarabangsa, Monash Universiti selain swasta seperti Universiti Selangor.

“Selain itu polisi negeri juga menggalakkan syarikat luar melabur di sini. Polisi kita memudahkan urusan mereka melabur. Saya sering ingatkan kepimpinan, kita tak boleh gagal dalam hal ini sebab ia akan beri kesan kepada ekonomi negara,” katanya.

Pada Mac, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mengumumkan pelaburan direkodkan Selangor tahun lalu sebanyak RM55.3 bilion, melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM45 billion.

Awal bulan ini, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi juga meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu.


Pengarang :