Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop (dua, kiri) bercakap ketika Forum Selangor, Gateway to Asean: Pembentukan Landskap Ekonomi Serantau dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kemudahan lengkap, tenaga mahir ‘ramuan’ Selangor tarik pelaburan tinggi

Oleh DANIAL DZULKIFLY

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Selangor memiliki asas kukuh dan ramuan ekonomi yang tepat, termasuk peningkatan jumlah pekerja mahir dalam pelbagai sektor untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.

Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata infrastruktur kukuh yang dimiliki turut menambah keyakinan pelabur untuk memulakan perniagaan mereka di negeri itu.

Menurut Saipolyazan M Yusop, negeri itu juga memiliki pelan pembangunan lima tahun menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), seperti Rancangan Malaysia yang diperkenal kerajaan persekutuan.

“Selangor satu-satunya negeri di Malaysia yang menyumbang lebih RM400 bilion kepada ekonomi negara tahun lalu, menunjukkan asas kukuh untuk pelabur memulakan perniagaan mereka di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop (tengah) menerima cenderamata daripada Pengarah Kanan Perancangan Strategik dan Komunikasi Invest Selangor Ahmad Khairo Othman ketika Forum Selangor, Gateway to Asean: Pembentukan Landskap Ekonomi Serantau dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Pelabur juga boleh menjalankan usaha sama dengan syarikat tempatan dan mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh Asia. Kita menganggap Selangor sebagai magnet pelaburan,” katanya di sini.

Bercakap dalam forum sempena Persidangan Perniagaan Asean Selangor semalam, Saipolyazan berkata negeri itu menetapkan sasaran untuk meluluskan pelaburan antara RM25 ke RM35 bilion setiap tahun.

Katanya, sasaran itu berjaya dicapai dengan lebih RM55.3 bilion pelaburan diluluskan tahun lalu, termasuk mewujudkan lebih 125,000 peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan serta pembuatan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen negeri untuk melatih dan mengekalkan tenaga kerja mahir, dengan sokongan daripada lebih 40 universiti dan institusi di negeri ini.

“Selangor adalah rumah kepada institusi teknikal berteknologi tinggi, yang menyediakan latihan khusus untuk syarikat seperti Apple, Xiemen, Festo, dan Dassault Systemes.

“Negeri ini juga menawarkan biasiswa untuk latihan vokasional dan penerbangan, selain memastikan bekalan tetap profesional yang mahir,” katanya lagi.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2 Julai, Selangor menjadi penyumbang tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 25.9 peratus tahun lalu, meningkat 0.4 peratus berbanding 2022.

Nilai ekonomi Selangor juga buat pertama kali mencecah RM406.1 bilion, negeri pertama di Malaysia
melebihi paras RM400 bilion, mengatasi gabungan Johor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan Selangor turut menyasar sumbangan RM500 bilion kepada KDNK dalam tempoh tiga tahun.


Pengarang :