Wanita warga Palestin Nozha Awad melarikan diri bersama tiga anak kembarnya dari hospital Al Shifa berikutan serbuan Israel pada 21 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Kudis buta ancam dua juta penghuni kem perlindungan di Gaza

GAZA, 5 JuULAI: Kira-kira dua juta penghuni kem perlindungan di tengah Semenanjung Gaza terus dihimpit kesukaran hidup, kini, berdepan dengan penularan kudis buta, iaitu sejenis penyakit kulit yang amat mudah berjangkit.

Pengarah Pusat Perubatan di Pusat Perlindungan Al-Nakheel di Bandar Deir al-Balah, Semenanjung Gaza, Sami Ahmed, mengeluarkan amaran “tentang bencana alam sekitar baharu di kem-kem perlindungan berkenaan kudis dan penyebarannya.”

“Kem-kem perlindungan sedang menghadapi bencana wabak berkaitan kulit terutama kudis buta dan penyebarannya yang cepat sangat membimbangkan ekoran kepadatan penduduk yang besar,” katanya seperti dipetik Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Beliau mengaitkan penyebaran kudis dengan “pembentukan kolam kumbahan, yang merupakan persekitaran yang subur untuk pembiakan serangga dan vektor penyakit termasuk hama”.

“Selama sembilan bulan, tiada mana-mana badan tempatan, antarabangsa atau awam mengepam air kumbahan ke loji rawatan ekoran gangguan bekalan elektrik. Kolam kumbahan terus terbiar dan ini telah menyebabkan penularan pelbagai penyakit bawaan air dan serangga, antaranya kudis inilah,” katanya.

Memburukkan lagi keadaan ialah kekurangan ubat-ubatan dan petugas perubatan, ketiadaan air bersih dan alatan sanitasi yang membawa kepada komplikasi teruk kepada pesakit dan cedera”, katanya.

Sejak permulaan pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza 7 Okt lepas, pelbagai badan kesihatan, hak asasi manusia dan organisasi serta institusi antarabangsa telah memberi amaran tentang penyebaran penyakit dan wabak dalam kem-kem perlindungan di Gaza akibat kesesakan luar biasa dan ketiadaan alatan sanitasi asas.

Sumber perubatan mengesahkan bahawa beribu-ribu pesakit di Semenanjung Gaza berdepan risiko kematian akibat kekurangan ubat-ubatan dan kemusnahan sistem kesihatan akibat serangan ganas Israel.

Dalam konteks yang sama, Ahmed berkata penyakit dan wabak lain juga sedang merebak di dalam kem termasuk cacar dan dermatitis akut, yang disebarkan oleh nyamuk.

Ahmed berkata:“Jika ubat-ubatan dan rawatan untuk penyakit kulit ini tersedia di Semenanjung Gaza, ia adalah suatu “keajaiban”. Sangat sukar.”

Beliau berkata pusat perubatan yang tersedia mengalami kekurangan kira-kira 13 jenis ubat untuk rawatan penyakit kulit dan mereka hanya dibekalkan satu liter ubat jenis ini setiap 20 hari.

“Bekalan ini boleh menyelamatkan penghuni kem daripada kudis, tetapi satu liter pastinya tidak cukup dan hanya bertahan paling lama lima hari. Jadi, kami mencairkannya supaya bilangan pesakit yang mendapat manfaat lebih ramai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu pihak berkuasa dan negara-negara yang berkenaan untuk “menyumbang dan menghantar ubatan dan rawatan segera berkaitan penyakit kulit.”

Jun lepas, sumber perubatan mengumumkan kehilangan 70 peratus senarai ubat penting dari gudang Kesihatan Gaza, selain memberi amaran mengenai kehabisan ubat dan bekalan perubatan untuk penyakit khusus seperti kanser dan kegagalan buah pinggang.

Pencerobohan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza telah mengakibatkan lebih 125,000 maut dan cedera, majoritinya kanak-kanak dan wanita, selain lebih 10,000 lagi hilang di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran.

-BERNAMA-WAFA


Pengarang :