AGENDANASIONAL

Pasangan warga emas maut kereta dinaiki bertembung bas ekspres

MACHANG, 5 JULAI: Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 3.7 Jalan Machang-Tanah Merah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata dalam kejadian sekitar 12.30 tengah hari itu, pemandu kereta jenis Perodua Kancil, Abdul Razab Awang Kechik, 88, dan isterinya, Zaiton Ismail, 70, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan, meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa dari arah Tanah Merah ke Machang hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung bas ekspres yang membawa 29 penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

katanya, pemandu bas dan kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

– BERNAMA


Pengarang :