Pemain muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil. Foto Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Pemain muda Selangor FC sertai kelab Jepun

SHAH ALAM, 5 JULAI: Pemain muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil akan menyertai kelab Jepun, FC Osaka yang beraksi di Liga J3 mulai bulan ini.

Selangor FC memaklumkan tawaran tersebut selepas pemain berusia 19 tahun itu tamat menjalani sesi percubaan pada 24 Jun sehingga 2 Julai lalu.

“Selangor FC berbangga dengan dedikasi dan pencapaian Muhammad sehingga menerima tawaran untuk bermain dengan FC Osaka secara pinjaman.

“Kami mengucapkan semoga Muhammad berjaya dalam Liga J3. Teruskan Mad!,” tulis skuad Gergasi Merah menerusi laman rasmi.

Muhammad yang bersyukur diberi kepercayaan oleh FC Osaka untuk bersaing dalam Liga J3 merakam ucapan terima kasih kepada Selangor FC kerana membenarkan beliau beraksi di luar negara.

“Ini peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa. Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari.

“Saya akan berikan yang terbaik untuk banggakan keluarga, Selangor FC dan Malaysia dengan harapan lebih banyak bakat tempatan dipandang oleh negara luar,” katanya menerusi kenyataan itu.

Muhammad beraksi dalam 18 perlawanan Piala MFL musim lalu sebagai pemain utama dan membuat penampilan pertamanya dalam saingan Liga Super bersama skuad senior Gergasi Merah tahun sama.


Pengarang :