Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Pemilik kebun durian rugi lebih RM200,000 terpedaya skim pelaburan tidak wujud

KUANTAN, 4 JULAI: Lelaki warga emas  kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud dalam talian Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata mangsa, 66 tahun, dilaporkan tertarik dengan iklan pelaburan saham melalui laman sosial atas nama Pimco Malaysia Station W68.

“Mangsa yang juga pemilik kebun durian di Bentong itu berurusan dengan suspek melalui aplikasi media sosial dan telah membuat pelaburan RM10,000 ke atas akaun yang diberikan pada 21 Mei selepas dijanjikan keuntungan sebanyak 100 peratus dari jumlah pelaburan.

“Susulan itu, suspek mengatakan bahawa mangsa memperolehi keuntungan RM500,000 dan dikehendaki membuat tambahan pelaburan bagi menebus keuntungan yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisam berkata mangsa terus diperdaya membuat pelaburan tambahan sehingga akhirnya melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM204,706 melalui enam transaksi dan kali terakhir dibuat adalah semalam.

Beliau berkata mangsa mula sedar ditipu setelah wang pelaburan daripada simpanan perniagaannya tidak mendapat sebarang pulangan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :