Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) meyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Cyberview Sdn Bhd ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Selangor sasar jadi pemain utama sektor semikonduktor, lahir ribuan jurutera tempatan

Oleh Danial Dzulkifly

SHAH ALAM, 30 JULAI: Selangor bercadang membangunkan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) pada setiap tahun sehingga 2028 seiring sasaran untuk menjadi pemain utama sektor semikonduktor.

Ketua pegawai eksekutifnya Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor berkata taman reka bentuk IC pertama beroperasi di Puchong yang menjamin pulangan tinggi sekali gus melonjak ekonomi negeri.

“Kapasiti taman reka bentuk IC di Puchong telah mencapai kapasiti maksimum. Sasaran jangka panjang kita ialah membina empat atau lima taman reka bentuk IC dalam tempoh empat tahun mendatang.

“SIDEC selaku pengendali akan memberi fokus dengan meneroka lebih menyeluruh memandangkan sektor ini memberi pulangan tinggi termasuk membuka peluang kerja dengan tawaran gaji tinggi,” kata Yong Kai Ping.

Beliau ditemui Media Selangor ketika menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS)  yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 Julai.

Beliau berkata Selangor tidak hanya mahukan pelaburan tetapi juga sediakan ekosistem menyeluruh untuk lahirkan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan pasaran.

“Sektor semikonduktor memerlukan tenaga kerja yang memerlukan gabungan kemahiran dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, dan sains komputer.

“Bagi memenuhi keperluan ini, kita akan bekerjasama dengan universiti tempatan untuk meningkatkan kemahiran jurutera tempatan termasuk bekerjasama dengan Taiwan, China dan Japan yang memiliki kepakaran dalam bidang ini.

“Kita juga sasar mewujudkan seramai 2,000 jurutera dalam bidang berkaitan dalam tempoh empat tahun terdiri lulusan baharu dan juga menarik jurutera berpengalaman dari luar negara yang pulang berkhidmat,” katanya.

 


Pengarang :