Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping mewakili Kerajaan Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat termasuk luar negara ketika Pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri bangunkan taman semikonduktor, mampu jana hingga RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor yang dibangunkan di Puchong mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion.

Menurut Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor, pusat yang beroperasi Jun ini bakal menarik pelabur, sekali gus meningkatkan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata pembangunan itu juga bakal membuka peluang kerjaya profesional terutama kejuruteraan dengan gaji bulanan antara RM5,000 hingga RM7,000.

“Dalam tempoh setahun beroperasi, kita jangkakan dapat tawar lebih 300 peluang kerja profesional dan ia bakal bertambah untuk tahun seterusnya.

“Pusat ini juga akan menjadi kluster perindustrian dan lebih banyak pelaburan akan dibawa masuk. Banyak syarikat yang memerlukan kilang bakal bertapak di sini,” katanya pada sidang media.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping bercakap ketika sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Kai Ping mewakili Kerajaan Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan empat syarikat termasuk luar negara iaitu ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China) selain Phison Malaysia dan SkyeChip.

Majlis sempena pelancaran Sidang Kemuncak KL20 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaksikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Digital Gobin Singh Deo, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta EXCO Pelaburan Ng Sze Han.

Kai Ping menambah pusat berkenaan dibangunkan berkeluasan 45,000 kaki persegi sebagai permulaan, namun akan ditambah sehingga 60,000 kaki persegi bagi menampung keperluan industri.

“Daripada bangunan tiga tingkat, kita akan luaskan kepada enam tingkat. Kita terima permintaan tinggi dari pemain antarabangsa yang mahu melabur di sini,” katanya.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sebelum ini, Sze Han berkata Selangor akan mengumumkan pelan pembangunan semikonduktor bagi menjana potensi pelaburan tinggi ke negeri itu.

Menurutnya, pelan yang akan diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat menyediakan ekosistem industri semikonduktor lebih baik berbanding sebelum ini.


Pengarang :