Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz (dua, kanan) dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Turut hadir EXCO Pelaburan Ng Sze Han (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari (kiri) dan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asia Laos (ASEAN-BAC Laos) Oudet Souvannavong. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor tekad kekal antara penyumbang terbesar pelaburan, hasil dinikmati rakyat

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Selangor mahu kekal dan meneruskan momentum kecemerlangan sebagai antara penyumbang terbesar pelaburan negara.

Dato’ Menteri Besar berkata hasrat tersebut mampu dicapai berdasarkan nilai pelaburan RM12 bilion yang direkodkan setakat suka pertama tahun ini, selain diperkukuh dengan pelan pembangunan negeri.

“Kita berada di nombor tiga dengan RM12 bilion pelaburan. Tahun lepas kita nombor dua dengan RM55 bilion pelaburan secara keseluruhan. Jadi kita sentiasa berada dalam sasaran untuk mengekalkan jumlah pelaburan yang besar.

Pertumbuhan ekonomi negeri berada di landasan tepat. Ini sekali gus dapat mencipta peluang ekonomi dan hasil dinikmati oleh rakyat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) 2024 hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Dato’ Yong Kai Ping (kanan) dan Ketua Pegawai Teknologi Weeroc Salleh Ahmad (kiri) selepas majlis menandatangai perjanjian bersama dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Amirudin berkata Selangor turut memiliki megatrend ekonomi antaranya digitalisasi dan tenaga hijau yang mampu menyokong dan merancakkan sektor pelaburan.

“Ini merupakan antara tumpuan malah ia sudah dimasukkan dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang akan memberi peluang kepada pelabur luar datang,” katanya.

Pada Mac, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan pelaburan direkodkan Selangor tahun lalu sebanyak RM55.3 bilion, melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM45 billion.

Awal bulan ini, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada 25.9 peratus pada 2023, bertambah lebih baik daripada 25.5 peratus tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi juga meningkat sebanyak 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu.

Laporan turut menunjukkan pertumbuhan KDNK tiga negeri lain merekodkan angka melebihi kadar seluruh negara iaitu Pahang (5.2 peratus), Johor (4.1 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus).

Pameran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :