Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan prestasi dan hasil ekonomi negeri ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pelaburan rancak, ekonomi diunjur makin berkembang

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Selangor terus mencatat prestasi kewangan dan ekonomi unggul dalam tempoh pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Jumlah agregat Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri (rizab) kukuh dengan rekod peningkatan kepada RM3.7 bilion, setakat 9 November 2023. Hasil negeri pula mencapai RM2.4 bilion.

Sepanjang tahun lalu, Selangor meraih pelaburan RM55.3 bilion, dengan pecahan RM37.9 bilion tempatan dan RM17.4 bilion lagi dari luar negara.

Daripada jumlah tersebut, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor perkilangan berjumlah RM19.3 bilion, termasuk RM13.67 bilion pelaburan asing.

Selain hutang negeri kepada kerajaan persekutuan makin menurun, sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor kepada negara terus meningkat antara 2018 hingga 2022. Lihat empat graf dalam artikel ini.

Angka terbaharu KDNK belum diumumkan tetapi Selangor dijangka terus menjadi penyumbang utama berdasarkan kerancakan ekonomi 2023, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagi tahun ini, ekonomi negeri diunjur tumbuh lebih pantas pada kadar 5.2 peratus dengan sasaran pelaburan RM50 bilion.

Perkembangan positif diraih Selangor bertepatan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 20 Mac yang mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang ekoran permintaan luar bertambah baik susulan pemulihan perdagangan global.

Berikut ringkasan sebahagian unjuran dan pencapaian ekonomi Malaysia dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini:

  • BNM unjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4 hingga 5 peratus tahun ini
  • Hong Leong Investment Bank Bhd menjangka kedudukan kewangan kerajaan kukuh tahun ini dengan jangkaan penjimatan perbelanjaan tahunan 0.8 peratus kepada RM393.8 bilion pada 2024 berbanding RM397.1 bilion tahun lepas. Komitmen kewangan kerajaan ketika ini lebih rendah berikutan ketiadaan pembayaran balik bon
  • 1Malaysia Development Berhad dan sasaran defisit fiskal -4.3 peratus daripada KDNK 2024 boleh dicapai
  •  firma penyelidikan BMI menjangkakan perbelanjaan isi rumah Malaysia naik 5 peratus kepada RM903.8 bilion
  • kadar inflasi Malaysia kekal rendah 1.8 peratus pada Mac 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.2
  •  kadar pengangguran di Malaysia setakat Februari kekal 3.3 peratus, dengan bilangan penganggur lebih rendah iaitu 567,000 orang
  • perdagangan Malaysia meningkat 7.1 peratus kepada RM690.59 bilion suku pertama tahun ini
  • pasaran saham Malaysia kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Filipina. Pada 1 Mei, FTSE Bursa Malaysia KLCI berada pada paras 1,575.97 mata
  • harga minyak sawit mentah pada 2024 dijangka kukuh dengan purata harga satu tan antara RM3,900 hingga RM4,200
  • Malaysia menarik potensi pelaburan asing RM76.1 bilion setakat Mac, hasil kejayaan misi perdagangan dan pelaburan negara di Australia, Jerman dan Perancis
  • Microsoft Corp pada 2 Mei setuju melabur RM10.5 bilion dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) Malaysia untuk empat tahun akan datang, bakal meningkatkan kemahiran 300,000 rakyat Malaysia dan mempercepatkan transformasi digital negara
  • Malaysia Airlines mencatat untung bersih kali pertama sejak 2010 iaitu RM766 juta pada tahun kewangan penuh 2023 berbanding kerugian bersih RM344 juta pada tahun sebelumnya

Kurang dua tahun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir, ekonomi kini dalam landasan terbaik berkembang semula selepas krisis akibat pandemik Covid-19, namun beberapa konflik antarabangsa seperti Perang Rusia-Ukraine dan Perang Gaza boleh merencatkan pertumbuhan.

Konflik berkenaan boleh menyebabkan harga komoditi utama dunia, terutama minyak mentah melambung. Selain itu, kadar faedah yang tinggi oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat juga boleh mempengaruhi prestasi ekonomi serantau.


Pengarang :