Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas majlis peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di Dewan Serbaguna Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada 20 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SKMM siasat akaun ‘Bola Tribe’ susulan hantaran sentuh isu 3R, hasutan

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Beberapa hantaran tular oleh sebuah akaun media sosial dengan nama ‘Bola Tribe’ yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum, agama, insititusi diraja (3R) kini sedang disiasat Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata setakat ini pemilik akaun berkenaan sedang dikenal pasti oleh suruhanjaya berkenaan.

“Kemungkinan akaun ini adalah akaun palsu, yang memang terdapat beberapa hantaran berbaur 3R dan hasutan yang menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SKMM dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.

Terdahulu, penganut agama Buddha dan Taoisme dilaporkan terasa terganggu dengan penyebaran beberapa gambar kuil dan tokong secara tidak senonoh oleh akaun berkenaan. Majoriti netizen turut memberikan komen supaya tindakan diambil terhadap pemilik hantaran berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata beliau akan ke Singapura untuk bertemu dengan pengendali platform media sosial pada hujung bulan ini, bagi menegaskan pendirian kerajaan supaya platform media sosial mematuhi undang-undang untuk terus beroperasi di Malaysia.

“Sekiranya ingin beroperasi di Malaysia, mereka (platform media sosial) perlu patuh kepada undang-undang dan kita ingin pastikan hantaran-hantaran yang berbaur 3R atau pun cuba mengapi-apikan sentimen dalam masyarakat, dapat dikurangkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :