Pasukan Silambam Negeri Selangor giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini ketika tinjauan di Dewan Tempur Majlis Sukan Negeri Selangor Seksyen 6 Shah Alam pada 30 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Skuad silambam Selangor yakin sumbang emas pada SUKMA Sarawak

SHAH ALAM, 30 JULAI: Persiapan pasukan Silambam Selangor hampir sempurna dan hanya menanti detik untuk turun ke gelanggang bagi memburu lima pingat emas yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21.

Ketua Jurulatihnya V. Uthaya Kumar yakin skuad itu mampu menyumbang kilauan emas bersandarkan kepada barisan atlet berpengalaman bagi membawa cabaran Selangor dalam acara yang kali pertama diiktiraf pada temasya dwitahunan itu.

“Latihan kita sudah memasuki fasa intensif menyaksikan atlet melalui lima kali sesi latihan dalam seminggu dan untuk tiga minggu terakhir ini kita akan kerah habis-habisan.

“Dari segi persiapan kita bersedia 95 peratus dan lima peratus lagi hanya tunggu masa untuk berlepas sebelum mempamerkan aksi demi menjulang nama Selangor,” katanya ketika ditemui Bernama semasa sesi latihan pasukan itu hari ini.

Beliau berkata pasukan Selangor akan beraksi dalam acara Thanithiramai, Kuthu Varisai, Poruthal (tempur bersenjata) serta persembahan berirama bersenjata dan tanpa senjata.

Uthaya Kumar berkata Sarawak antara pasukan yang dikenal pasti mampu menggugat peluang anak buahnya menyumbang pingat.

Selepas lapan bulan berlatih bersama beliau yakin barisan atlet mampu mencabar mana-mana pasukan, namun dalam masa yang sama mereka diingatkan tidak memandang rendah keupayaan lawan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan sebanyak lima sukan tambahan termasuk Silambam bakal dipertandingkan pada penganjuran kali ini susulan persetujuan yang dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

– BERNAMA


Pengarang :