Pemimpin tertinggi Hamas Ismail Haniyeh bercakap semasa sidang media di Tehran, Iran, pada 26 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Sumber Hamas: Ismail Haniyeh dijangka dikebumikan di Qatar

ANKARA, 31 JULAI: Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang maut dalam serangan udara hari ini akan dikebumikan di Qatar, lapor Agensi Anadolu berdasarkan sumber yang berkaitan dengan pergerakan perjuangan Palestin.

Perbincangan antara pegawai Hamas dan Iran mengenai pengebumian Haniyeh yang dirancang diadakan di Tehran sedang berlangsung dan beliau akan dikebumikan di ibu negara Qatar, Doha, menurut sumber yang memberitahu Anadolu dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Setakat ini Iran, Hamas, dan Qatar masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tempat persemadian akhir Haniyeh.

Terdahulu, media Iran melaporkan bahawa Haniyeh dibunuh dalam serangan udara yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran sekitar 2 pagi waktu tempatan.

Serangan itu dilaporkan berlaku di rumah tamu untuk veteran perang yang diuruskan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Haniyeh berada di Tehran untuk majlis angkat sumpah presiden baharu Iran.

Hamas juga mengeluarkan kenyataan di mana ia berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan ketua mereka yang dikatakan dibunuh di Tehran dalam serangan “khianat Zionis.”

Secara berasingan, Anadolu melaporkan bahawa Kerajaan Iran telah mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara dari Rabu hingga Jumaat atas kematian Haniyeh.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, kerajaan baharu Iran yang dipimpin oleh Presiden Masoud Pezeshkian berkata pembunuhan pemimpin Hamas itu telah “membawa kesedihan kepada umat Islam, penyokong pergerakan perjuangan dan semua orang yang merdeka di dunia.”

Pembunuhan itu “menambah satu lagi halaman kepada rekod jenayah memalukan oleh entiti Zionis,” kata kenyataan itu, merujuk kepada Israel.

Iran menyalahkan Israel atas pembunuhan itu, tetapi Tel Aviv masih tidak mengesahkan atau menafikan penglibatannya.

“Kerajaan Republik Islam Iran mengecam tindakan kejam ini yang dilakukan dengan tujuan tertentu pada permulaan tugas Kerajaan Perpaduan Nasional, melanggar semua prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, dan menyasarkan seorang tetamu rasmi dan diplomatik Republik Islam Iran yang menghadiri majlis pelantikan presiden,” kata kenyataan itu.

”Kerajaan Iran menyeru semua “kerajaan yang bebas dan individu yang terhormat serta berfikiran bebas” untuk “berhadapan kumpulan penjenayah yang memerintah wilayah diduduki.”

Haniyeh telah dipilih semula sebagai Ketua Biro Politik Hamas pada 2021 untuk penggal kedua berturut-turut yang dijadualkan berakhir pada 2025.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :