Mesin pengutip sampah Interceptor 002 ketika tinjauan Tourism Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bersama media di Sungai Klang ketika lawatan bersama media pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sungai Klang makin bersih, 88,000 tan metrik sampah dikeluarkan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kutipan sampah di Sungai Klang menurun sebanyak 67 peratus dan kini hanya mengumpul 5,600 tan metrik sampah sahaja, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek bawah Gerbang Maritim Selangor (SMG) itu berjaya mengeluarkan 88,000 tan metrik sampah daripada Sungai Klang sejak 2019 hingga Ogos tahun lalu.

“Tahun lalu, kutipan sampah di Sungai Klang telah menurun 67 peratus berbanding 2019. Ketimbang permulaan, Interceptor 002 iaitu jentera pemungut sampah di sungai kini mengutip 5,600 tan metrik sampah sahaja.

“Secara keseluruhan, kita berjaya keluarkan 88,000 tan metrik sampah daripada Sungai Klang sehingga Ogos 2023 menggunakan Interceptor 005 dan 002 serta tujuh perangkap sampah,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tambah Amirudin, projek pembersihan Sungai Klang tidak hanya bergantung kepada penggunaan jentera Interceptor semata-mata, sebaliknya turut melibatkan penguatkuasaan.

“Pada masa sama, penguatkuasaan turut dilaksanakan bagi mencegah orang buang sampah ke sungai,” katanya.

Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek SMG kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.

Bagi pemulihan dan pembersihan Sungai Klang, terdapat dua mesin perangkap sampah iaitu Interceptor 002 dan 005 masing-masing beroperasi pada Ogos 2019 dan 2022.

Jentera Interceptor merupakan mesin inovasi ciptaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Belanda, Ocean Clean Up bagi proses pembersihan Sungai Klang yang lebih efektif.


Pengarang :