Nelayan Pantai, Mohamad Mohamed Idris, 48, menyauk kerang di sekitar ‘kebun’ kerang miliknya di perairan Lembah Lekir ketika ditemui pada 15 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tangani pelbagai isu, kerajaan cadang pinda akta nelayan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kerajaan berhasrat meminda akta nelayan secara menyeluruh pada sesi Parlimen akan datang bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata akta yang wujud lebih 20 tahun itu perlu dipinda bagi menangani pelbagai isu.

“Kita akan pinda akta nelayan secara menyeluruh pada sesi Parlimen akan datang. Akta ini lama (wujud) lebih 20 tahun.

“Ini semua merangkumi hal-hal nelayan kecil dan nelayan pukat besar, bot besar serta daerah penangkapan. Ini supaya tindakan dapat diambil dengan baik.

“Kita cuba memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (Kuala Kedah-PN) berhubung cadangan semakan semula syarat lesen nelayan di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika ini, semua aktiviti nelayan termaktub dalam Akta Perikanan 1985 dan Akta Persatuan Nelayan 1971. Kali terakhir akta persatuan nelayan dipinda adalah pada 1 Januari 2008.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kementerian sentiasa berusaha meningkatkan pendapatan nelayan bagi memastikan golongan tersebut tidak hidup dalam keadaan miskin tegar.

Menurutnya, beberapa kemudahan tersedia bagi meningkatkan sosioekonomi nelayan seperti Program myKomuniti Perikanan (myKP), myAgropreneur Perikanan (myAP) dan sebagainya.

“Kita turut menyediakan kemudahan dan infrastruktur seperti Pasar Nelayan bagi memberi peluang kepada nelayan memasarkan hasil tangkapan mereka secara terus kepada pengguna.

“Sehingga kini, sebanyak 73 buah pasar nelayan telah diwujudkan di seluruh Malaysia,” katanya.


Pengarang :