Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor Tan Sri Abd Karim Shaikh Munisar (tengah) bersama Datuk Bandar MBSJ Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (kiri) dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali (kanan) menunjukkan jersi dan tiket Piala Sultan Selangor pada program Siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2024 di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 24 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Tiket Piala Sultan Selangor habis, acara pertama di Stadium Merdeka selepas 8 tahun

SUBANG JAYA, 24 JULAI: Semua 20,000 tiket perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) melibatkan aksi Selangor dan Singapura pada 17 Ogos ini berjaya terjual.

Pengerusi dan pengurus pasukan TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar berkata perlawanan itu bakal menjadi acara sulung di Stadium Merdeka selepas ia ditutup selama lapan tahun bagi kerja baik pulih.

“Perlawanan ini akan menjadi hari pertama Stadium Merdeka kembali dibuka kepada awam selepas ia melalui proses baik pulih sejak 2016. Jadi kita sama-sama akan catat sejarah.

“Setakat ini semua tiket juga sudah habis dijual, tiada lagi tiket berbaki. Untuk Singapura kita hanya peruntukkan 1,500 tiket sahaja,” katanya pada sidang media.

Beliau ditemui pada siri jelajah promosi dan penyerahan tiket TSSC di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini, hari ini. MBSJ merupakan lokasi terakhir bagi siri jelajah yang bermula pada 24 Jun lalu.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor Tan Sri Abd Karim Shaikh Munisar (tengah) bersama Datuk Bandar MBSJ Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ Mohd Zulkurnain Che Ali bergambar pada program Siri Jelajah Promosi dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor 2024 di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 24 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Abd Karim menambah, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan pancaragam, pertunjukan bunga api, pertunjukan payung terjun dan persembahan artis Datuk Jamal Abdillah, sebelum perlawanan bermula.

Malah, katanya, peminat sukan bola sepak juga berpeluang memenangi cabutan bertuah kereta Honda City serta percutian ke Sabah dan Melaka.

“Kita juga galakkan mereka hadir menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas selain hadir awal sebaiknya pada jam 5 petang,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata pihaknya akan menyediakan dua bas bagi membawa penyokong dan kakitangan MBSJ ke perlawanan tersebut.

“Ini merupakan sebahagian daripada kebajikan selain memberi kemudahan kepada mereka untuk ke Stadium Merdeka. Bagaimanapun kita menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi kelancaran perjalanan,” katanya.

Stadium Merdeka sebelum ini ditutup bagi menjalani kerja pemuliharaan dan penambahbaikan yang dilaksana Permodalan Nasional Berhad (PNB) bermula 2016.

Stadium yang mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun itu pernah dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan negara, selain menjadi lokasi bersejarah pengisytiharan kemerdekaan tanah air.


Pengarang :