Atlet serta pegawai menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDANASIONAL

12 laluan ke stadium ditutup sempena penutupan SUKMA Sabtu ini

KUCHING, 22 OGOS: Beberapa laluan menuju ke Stadium Perpaduan Sarawak akan ditutup mulai 3 petang Sabtu ini bagi memastikan kelancaran trafik sempena upacara penutupan rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Ketua Polis Daerah Kuching Mohd Farhan Lee Abdullah berkata orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang dikhaskan untuk ke tempat letak kenderaan awam berhampiran stadium.

Beliau berkata antara 12 lokasi yang ditutup adalah di bulatan Sesco, bulatan Kesuma Resort, persimpangan Sumber Alam ke Stadium Perpaduan, simpang masuk ke Stadium Perpaduan dari Jalan Stadium dan Jalan Diplomatik, jalan masuk ke Pusat Akuatik Pandelela Renong, Jalan Padang Gasing, lorong masuk ke tempat letak bas dan Jalan Stadium menuju ke simpang parkir awam.

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif ke tempat letak kenderaan awam yang telah dikhaskan iaitu dari arah bulatan Sesco, buat pusingan U di bulatan Casuarina kemudian melalui jalan tersebut untuk masuk ke simpang Jalan Stadium.

“Kenderaan yang melalui Jalan Diplomatik boleh terus ke kawasan tempat letak kenderaan di belakang Stadium Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata selepas acara penutupan tamat, orang ramai dinasihatkan keluar melalui Jalan Diplomatik menghala ke Demak serta melalui Jalan Stadium (Ring) menuju Jalan Casuarina.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan serta merancang perjalanan dengan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan.

-BERNAMA


Pengarang :