Atlet serta pegawai Selangor menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

706 atlet Selangor, 213 pegawai sertai perbarisan lintas hormat SUKMA 2024

KUCHING, 17 OGOS: Seramai 706 atlet Selangor dan 213 pegawai menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 malam ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi mengetuai kontinjen negeri pada acara perasmian temasya sukan berprestij negara yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Sarawak dekat sini.

Atlet lompat kijang Selangor Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi yang pernah menyertai Sukan SEA 2023 diberi penghormatan sebagai pemegang bendera Selangor pada acara berkenaan.

Kontinjen Selangor turut menampilkan maskot Helang Putih pada acara pembukaan sukan dwitahunan yang dibanjiri ribuan masyarakat berbilang bangsa.

Keseluruhannya seramai 10,481 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen menjayakan acara pembukaan itu dengan tuan rumah menghantar kontinjen terbesar iaitu 1,054 orang diikuti Sabah (946) dan Selangor (919).

Wilayah Persekutuan menghantar 916 atlet termasuk pegawai, Pulau Pinang (804), Perak (803), Johor (789), Pahang (757), Terengganu (751), Melaka (612), Kedah (596), Negeri Sembilan (546), Kelantan (502), Perlis (398) dan Brunei (88).

SUKMA 2024 disempurnakan Yang Dipertua Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berkonsepkan Matlamat Perpaduan Membara, upacara itu memperlihat semangat perpaduan menerusi gabungan pancaran laser yang memukau pengunjung.

Penerjun negara Datuk Pandalela Rinong dan atlet tinju Sarawak Daeloniel Mcdelon Bong pula diberi peranan menyalakan obor SUKMA 2024 sebagai simbolik sukan landasan perpaduan masyarakat.

Kemuncak acara, orang ramai dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air iaitu Faizal Tahir, Jaclyn Victor dan Marsha Milan selain persembahan kebudayaan dan bunga api.

Sukma 2024 dianjur di sembilan daerah negeri ini hingga 24 Ogos membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran.

Selangor menyertai 37 jenis sukan selain menyasar kutipan 61 pingat emas dan berada pada kedudukan tiga teratas.

Atlet serta pegawai menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR

Pengarang :