AGENDANASIONAL

Amaran hujan lebat di KL, hampir seluruh daerah Selangor hingga 6 petang

SHAH ALAM, 22 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan angin kencang melanda Kuala Lumpur serta lapan daerah di Selangor hingga 6 petang.

Lapan daerah itu ialah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

MetMalaysia memaklumkan di Facebook, cuaca sama juga dijangka berlaku di Putrajaya, Labuan dan Terengganu selain beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak.

MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Foto Facebook Malaysian Meteorological Department

Pengarang :