Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan aplikasi e PTRS ketika melawat pameran selepas majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Aplikasi tuisyen percuma mudahkan ulang kaji, Selangor cadang beri data percuma

SHAH ALAM, 13 OGOS: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) ditambah baik dengan pembangunan aplikasi dalam talian bagi memudahkan 130,000 pelajar mengakses bahan pembelajaran.

Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran juga akan meneliti keperluan pemberian data internet percuma bagi membantu pelajar mengulang kaji pada bila-bila masa seiring matlamat mendigitalkan proses pembelajaran.

“Aplikasi e-PTRS akan memudahkan mereka belajar. Mereka hanya perlu memuat naik (aplikasi) dan boleh digunakan bila-bila masa. Kita kena lihat juga penggunaan data dan jika ada keperluan, kita akan bantu.

“Ilmu dapat dicapai di mana-mana sahaja tanpa mengira masa sekali. Insya-Allah aplikasi mudah alih ini meningkatkan lagi pencapaian pelajar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat berkaitan aplikasi e PTRS ketika majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata program pendidikan diperkenalkan sejak 2008 itu turut memperkenalkan modul kepimpinan dan pembangunan khusus kepada pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Dilaksanakan bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri mulai awal tahun depan, Amirudin berkata modul dapat memperkasa kebolehan pelajar selain memberi penekanan kepada aspek emosi dan pembentukan jati diri.

“Modul ini akan beri pendedahan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian sama ada ke universiti, kolej tingkatan enam atau kemahiran. Kita mahu pandu dan dedahkan mereka dengan kehidupan selepas alam persekolahan.

“Kita lihat PTRS ini bukan hanya membantu pelajar daripada gagal sebaliknya turut jadi nilai tambah kepada pelajar yang cemerlang. Paling jelas purata pelajar lulus (SPM) negeri semakin meningkat selain dapat mengekang isu sosial,” katanya.

Tambah Amirudin, berkemungkinan lebih 200,000 pelajar akan menyertai program berkenaan mulai tahun depan sekiranya mendapat kerjasama dengan kerajaan persekutuan.

Julai lalu, ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan PTRS disertai lebih 230 sekolah dengan peruntukan RM10 juta termasuk kos membiayai makan tengah hari pelajar.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata program berkenaan melibatkan kelas tambahan untuk mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan modul PTRS kepada Ketua Sektor Pengurusan Akademi Bahagian Pendidikan Islam JAIS Abd Halim Saljadi (dua, kanan). Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop (kiri) sempena majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 yang telah dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :