Pemain Selangor FC Faisal Halim
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bangkit dari simbahan asid, Faisal mungkin beraksi lawan JDT

Peluang makin cerah untuk pemain Selangor FC Faisal Halim yang disimbah asid lebih 100 hari lalu beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA pada 24 Ogos menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kemungkinan tersebut berdasarkan kemunculan semula pemain tersebut dalam dua perlawanan Liga Super menentang Kelantan pada 10 Ogos diikuti Sabah (13 Ogos) meski sekadar sebagai gantian.

Aksi penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 di Qatar itu juga dilihat menyerlah dalam perlawanan menentang Kelantan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya meski hanya 10 minit.

Masuk pada minit ke-85, Faisal hampir menjaringkan gol apabila tandukannya mengenai palang gawang lawan dua minit kemudian. Pemain itu juga beraksi mulai minit ke-81 menentang Sabah.

Sebelum perlawanan itu, kelibat beliau yang memakai topeng khas pada sesi panas badan dalam perlawanan aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC mendapat sorakan gamat.

Topeng itu bagi melindungi saraf dan luka yang belum benar-benar pulih. Pelindung muka itu rekaan penyelidik Universiti Malaya berdasarkan nasihat Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.

Faisal juga hampir pasti membuat kemunculan khas dalam kejohanan berprestij Piala Sultan Selangor (TSSC) menentang Pilihan Singapura di Stadium Merdeka pada 17 Ogos.

“Saya ada berjumpa Faisal bersama pemain Selangor lain. Beliau bersedia untuk beraksi pada perlawanan nanti,” kata Pengerusi dan Pengurus TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar pada 6 Ogos.

Untuk perlawanan akhir Piala FA menentang JDT di Bukit Jalil, EXCO sukan percaya kelincahan Faisal memberi kelebihan buat Selangor FC seterusnya menjulang piala itu buat kali keenam.

Pertarungan itu dijangka sengit berikutan JDT lawan sama dalam Piala Sumbangsih sebelum Selangor FC menarik diri ekoran tragedi yang menimpa Faisal lima hari sebelum perlawanan.

Peluang rangkul piala

Najwan Halimi percaya kelincahan pemain kebangsaan itu bakal membantu kepada Selangor FC untuk mengatasi cabaran JDT seterusnya menjulang Piala FA buat kali keenam.

Beliau juga berharap pemain yang dikenali sebagai Mickey itu diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi keputusan akhir sepenuhnya di tangan Ketua Jurulatih Selangor FC Nidzam Jamil.

“Kita tidak sesekali meremehkan pasukan lawan, JDT pun memang ada kekuatan dan keupayaannya sendiri tetapi kita melihat ada ruang dan peluang Selangor FC untuk merangkul kejuaraan.

“Namun, kita harap Selangor FC boleh mempertimbang untuk menyenaraikan Faisal dalam tonggak kesebelasan utama, bergantung kepada tahap kecergasan beliau,” katanya pada 11 Ogos.

Pada 5 Mei, dua lelaki menyimbah asid terhadap Faisal di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya mengakibatkan beliau terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Insiden tersebut dipercayai pertama kali berlaku melibatkan atlet negara mengakibatkan Faisal melecur tahap empat di muka, tengkuk, dada, bahu dan tangan.

Ekoran kecederaan yang menjejaskan lapisan kulit sehingga melibatkan otot dan tulang, pemain itu terpaksa menjalani empat pembedahan cantuman kulit untuk menutup bahagian tubuh yang rosak.

Pembedahan yang dilakukan pakar perubatan luar negara menelan kos lebih RM30,000. Pengerusi Selangor FC Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah yang juga Raja Muda Selangor menanggung kos rawatan dan perubatan sehingga pemain itu pulih.

Kejadian tersebut dikecam orang ramai termasuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menggesa polis membuat siasatan hingga pelakunya ditangkap.

 


Pengarang :