Kegembiraan pemain Selangor meraih emas selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 3-1 dalam akhir berpasukan campuran badminton di Dewan Tertutup, Sibu pada 20 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Beregu Selangor raih emas, kejutkan pilihan utama

SIBU, 24 OGOS: Beregu lelaki Selangor Lok Hong Quan-Muhammad Faiq Haziq Masawi mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan utama dari Pulau Pinang Goh Boon Zhe-Rayner Beh Chun Meng untuk meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu di sini hari ini.

Hong Quan-Muhammad Faiz Haziq bagaimanapun terpaksa bekerja keras apabila tewas di set pertama 19-21 sebelum bangkit memenangi set kedua dengan 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan beregu muda Selangor itu terus mengasak dan mempamerkan permainan pantas untuk menundukkan pasangan Pulau Mutiara dengan kiraan mata 21-15 sekali gus terpaksa akur dengan pingat perak.

Pingat gangsa menjadi milik beregu diwakili anak legenda badminton negara Datuk Razif Sidek, Muhammad Fazriq bersama gandingan Bryan Jeremy Goonting dari Wilayah Persekutuan yang menewaskan beregu Selangor Goh Yi Qin-Wong Vi Sean 21-15, 20-22, 21-12.

Sementara itu, dalam aksi final beregu wanita menyaksikan pasangan Johor Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu bangkit daripada kekalahan set pertama 19-21 kepada pasangan Perak Chong Jie Yu-Vannee Gobi Yap untuk menang dua set berikutnya sekali gus meraih pingat emas dalam penyertaan SUKMA 2024.

Jie Yu-Vannee tewas di set kedua dan ketiga 19-21, 12-21 untuk berpuas hati dengan pingat perak.

Pingat gangsa dimenangi pasangan kembar dari Kedah, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin yang menewaskan beregu Wilayah Persekutuan Amanda Yap Hwa Leng-Ong Xie Yee 21-13, 21-17.

Dalam saingan aksi final beregu campuran, pasangan Melaka Aaron Tai Wei Qin-Noraqilah Maisarah Ramdan meraih pingat emas selepas menjinakkan gandingan Pulau Pinang Tan Wei Liang-Khor Jing Wen 21-17, 21-16 dalam aksi final.

Keputusan itu menyaksikan Wei Liang-Jing Wen terpaksa berpuas hati dengan perak manakala gangsa dimenangi beregu Selangor Muhammad Haris Safuan Shazlan-Wong Zi Yi selepas menewaskan wakil tuan rumah Jeremy Juan Zhen Liang-Genevie Lim Tsin Yeen 21-18, 11-21, 23-21 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

– BERNAMA


Pengarang :