BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Cabaran urus anak autisme, program percuma atasi tekanan ibu bapa

Tidak mudah membesarkan dan menguruskan anak istimewa, khususnya yang mengalami Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) atau dikenali autisme.

Autisme ialah gangguan pertumbuhan tumbesaran seseorang dalam jangka masa panjang yang memberi kesan dalam pemikiran kanak-kanak dan memproses informasi, menurut Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.

Gangguan itu menyebabkan kanak-kanak autisme hidup dalam dunianya sendiri hingga memberi kesan kepada kemahiran interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku mereka.

Justeru, kanak-kanak sebegini memerlukan tumpuan khas daripada penjaga menyebabkan ada ibu atau bapa berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anak istimewa itu.

Tindakan sedemikian mengecilkan sumber kewangan keluarga kerana bergantung harap kepada satu punca pendapatan semata-mata.

Akibatnya, sesetengah ibu bapa berdepan masalah kewangan memenuhi keperluan anak autisme mendapatkan intervensi awal supaya dapat berinteraksi dengan kanak-kanak normal lain.

Pegawai Pemulihan Perubatan (Cara Kerja) Nurul Husna Shuib yang menjalankan terapi kepada kanak-kanak autisme di Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa (Pusat ANIS) mendedahkan, pihaknya menganggar 50 peratus hingga 60 peratus ibu atau bapa terpaksa berhenti kerja bagi menumpukan anak autisme.

Pegawai Pemulihan Perubatan (Cara Kerja) Nurul Husna Shuib

Selain itu, beliau juga mendapat aduan ibu bapa yang terpaksa memberhentikan program intervensi di pusat swasta yang mengenakan yuran yang tinggi.

“Jadi yang hantar anak ke (pusat) swasta, memang terkesanlah dengan kos-kos terapi, intervensi awal sangat mahal,” katanya ketika ditemui pada 9 Julai.

Akibat kekangan kewangan ibu bapa, segelintir anak autisme dibiarkan di rumah tanpa sebarang intervensi menyebabkan ada sesetengah kanak-kanak berumur enam tahun masih tidak menguasai beberapa kemahiran asas kanak-kanak.

 

Intervensi

 

Menyedari masalah itu, Kerajaan Negeri menubuhkan Pusat ANIS pada Ogos 2021. Bertempat di Shah Alam, pusat itu menyediakan program intervensi awal percuma kanak-kanak autisme khususnya kepada ibu bapa kurang berkemampuan.

Pusat itu turut menyediakan perkhidmatan untuk kanak-kanak sindrom Down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), kelewatan perkembangan global kanak-kanak (GDD) serta masalah pembelajaran, berumur dua hingga enam tahun.

Mengulas lanjut, wanita berusia 34 tahun itu berkata, faktor lain mendorong ibu atau bapa berhenti kerja kerana kerenah majikan yang sukar meluluskan pelepasan waktu kerja untuk terlibat dalam terapi anak selama dua jam di pusat intervensi.

Katanya, kesedaran rendah masyarakat mengenai autisme menyebabkan ibu bapa berasa rendah diri dan terpaksa berhadapan rungutan tetangga mengenai anak istimewa mereka.

Hal ini berlaku apabila anak itu di rumah menjerit-jerit, menangis dengan kuat sehingga dikatakan mengganggu jiran sekeliling

Nurul Husna berkata, pihaknya mendapati cabaran-cabaran berkenaan menyebabkan wujudnya tekanan melampau terutama golongan ibu kepada anak autisme.

“Kita ada temui ibu-ibu yang menjadi murung disebabkan tekanan yang terlampau. Tekanan urus hal rumah, anak-anak lain, suami. Anak-anak autisme ini, selain tingkah laku yang berulang, ada tingkah laku lain seperti tak dengar arahan (dan) tak duduk setempat,” katanya.

 

Selangorkini menemubual ibu kepada dua pelajar pada 9 Julai lalu, bertanyakan mengenai cabaran yang lalui sebelum menyertai program Pusat ANIS.

Rohani Hamzah, 35, kerani

“Sebelum ini saya tak nampak dia suka berkawan. Dia main seorang diri. Bila dekat sini (Pusat ANIS), dia rasa seronok. Setiap kali cakap nak datang sini, dia macam tak sabar. Rasa sesuai untuk dia.”

 

Nurul Auni Saadiah Mohd Ansor, 31, suri rumah

“Masa di Pusat ANIS banyak perubahan, walaupun dia sekolah sehari sahaja,boleh ikut arahan kita. Senang bawa ke mana-mana. Sebelum ini umur empat tahun, kalau ke mana-mana ada benda dia suka dan tak dapat, dia sudah baring dekat situ.”


Pengarang :