Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (tiga, kiri), Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi (tiga, kanan) dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan (dua, kanan) menyampaikan barangan sumbagan MBI kepada wakil penduduk selepas meninjau keadaan mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewa Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisek, Hulu Selangor pada 5 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Cakna kebajikan, mangsa banjir syukur negeri segera hulur bantuan

HULU SELANGOR, 5 OGOS: Mangsa banjir melibatkan lima kampung di Hulu Bernam memuji tindakan pantas Kerajaan Negeri yang menghulurkan bantuan awal kepada mereka.

Penduduk Kampung Masjid, Norehan Malek, 48, mengakui negeri tidak pernah meminggirkan dalam menyalurkan bantuan terus kepada penduduk yang ditimpa musibah banjir.

Mangsa banjir Kampung Sungai Seli, Norehan Malek, 48. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Saya tinggal di kawasan ini sejak 2004, pengalaman empat kali dilanda banjir dan Kerajaan Selangor bersama agensi lain, badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua kampung sentiasa bertindak pantas menyalurkan bantuan kepada kami.

“Terima kasih juga buat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menyalurkan bantuan wang tunai RM500. Saya akan gunakan untuk pembersihan rumah yang dalam keadaan kotor selepas dinaiki air setinggi empat kaki,” kongsinya.

Mangsa banjir Kampung Sungai Seli, Mohd Amir Alias. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Seorang lagi penduduk, Mohd Amir Alias, 53, menghargai keprihatinan MBI menghulurkan sumbangan wang tunai yang dilihat dapat mengurangkan beban selepas rumahnya di Kampung Sungai Seli dilanda banjir.

“Hujan lebat sejak jam 5 pagi pada Ahad menyebabkan rumah dinaiki air sangat memberi kesan buat saya dan isteri yang kini dilanda penyakit strok.

“Terima kasih kepada MBI dan wang tunai ini akan digunakan untuk menjalani kerja pembersihan di rumah saya yang kini dikotori dengan lumpur,” katanya.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan memaklumkan seramai 143 penduduk dari 50 buah keluarga ditempatkan di di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Sekolah, Kuala Kubu Bharu.

Katanya, PPS Dewan Serbaguna Kampung Sekolah membabitkan penduduk dari Kampung Serigala, Kampung Sungai Nilam, Kampung Sekolah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Lebar.

“Banjir di semua lima buah kampung dilihat semakin surut dan mangsa yang ditempatkan di PPS dijangka akan pulang ke kediaman masing-masing dalam waktu terdekat.

“Fokus selepas ini adalah aspek kebersihan dengan menjalankan kerja mencuci di kediaman mereka. Terdapat seorang bayi di PPS ini mengalami demam panas jadi kita tidak mahu penyebaran penyakit akibat kesan dari banjir ini,” jelasnya.


Pengarang :