Ketua Hamas Ismail Haniyeh memberi isyarat ketika menyampaikan ucapan berhubung keputusan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, di Bandar Gaza pada 7 Disember 2017. Foto REUTERS
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari jeriji penjara dan buang daerah, Ismail Haniyeh syahid jua

Lahir di sebuah kem pelarian di Gaza pada awal tahun 1962, Ismail Haniyeh bergerak cergas di kampus sejak 1981 sebagai pemimpin mahasiswa yang dekat dengan Ikhwanul Muslimin.

Ibu bapanya berasal dari Asqalan (Ashkelon), tidak jauh dari utara Semenanjung Gaza, aktivis muda ini terus meredah liku perjuangan dekad tersebut hingga Harakatul Muqawwamatul Islamiah (Hamas) ditubuh pada 1988.

Seperti nasib pemimpin dan aktivis Palestin, yang berjuang menjelang dan selepas penguasaan Israel mulai 1948, keluar masuk penjara rejim Israel sudah menjadi asam garam kehidupannya.

Pada mulanya, ketika Intifadah pertama pada 1988, selama enam bulan beliau meringkuk di balik jeriji besi.

Kemudian selama tiga tahun apabila ditahan pada 1989 dan dibuang ke negara jiran Lubnan.

Dekat dengan pengasas gerakan tersebut Syeikh Ahmad Yassin sejak awal, 1997, Ismail seorang pemimpin politik berbakat sehingga berjaya memegang jawatan perdana menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada 2006.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Ismail Haniyeh di Doha ketika lawatan rasmi ke Qatar pada 13 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Namun, nasibnya tidak selalu cerah. Jawatan tersebut dipertikai dari 2007 sehingga 2014 apabila satu lagi kumpulan besar Fatah berselisih dengan Hamas.

Perseteruan dua kumpulan ini mencetuskan perang saudara berlarutan.

Konflik ini berpunca, antara lain, ketegasan Hamas dan Ismail tidak melayan desakan Fatah untuk mengiktiraf negara haram itu.

Susulan itu, Israel dengan dukungan negara-negara Barat tidak mengiktiraf gerakan Islam tersebut.

Pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh (tengah) melambai tangan selepas melawat tahanan Palestin yang baru dibebaskan Rawda Saed (tidak dalam gambar), di Kota Gaza, pada 4 Oktober 2009. Foto REUTERS

Bagaimanapun Fatah, kumpulan terbesar dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mendapatkan PA ketika tokohnya Yasser Arafat masih hidup, sering pula sepakat menentang rejim Israel.

Ismail sebelum ini terselamat daripada cubaan Israel membunuhnya, termasuk ketika bersama pendiri Hamas itu pada September 2003.

Diserang dari udara

Namun beberapa bulan kemudian Ahmad Yassin maut di tangan rejim tersebut.

Berasal dari Asqalan, tokoh ulama berpengaruh itu diserang dari helikopter AH-64 Apache selepas solat subuh di Bandar Gaza pada 22 Mac 2004.

Almarhum diganti Abdul Aziz al-Rantisi tetapi dibunuh juga menggunakan kaedah sama pada 17 April tahun itu.

Pada jam 2 pagi 31 Julai waktu Tehran, tibalah giliran Ismail menemui syahidnya.

Beliau berada di Iran sempena majlis angkat sumpah presiden baharu Masoud Pezeshkian beberapa jam sebelumnya.

Tokoh jihad Palestin itu tinggal di sebuah kediaman khas dalam kawasan penempatan veteran tentera.

Diserang dari udara, Ismail dan pengawalnya terkorban. Iran masih menyiasat serangan ini.

Dianggap pragmatik, tokoh politik Hamas ini sedang mencari jalan damai tetapi sentiasa dirintang kematian.

Tiga anak lelakinya bersama empat cucu terbunuh dalam kereta pada April tahun ini. Kakaknya yang sudah lanjut usia terbunuh dua bulan kemudian.

Sepanjang 10 bulan mutakhir, lapor portal Al Jazeera, 60 ahli keluarga dan sanak saudaranya menemui ajal di tangan Israel.

Mereka pergi bersama hampir 40,000 lagi nyawa, termasuk 15,000 kanak-kanak sejak 7 Oktober 2023. Seramai 91,000 cedera.

Deretan mayat rakyat Palestin di sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza susulan serangan Israel ke kem pelarian Jabalia, pada 31 Oktober 2023. Foto REUTERS

Ismail menyertai barisan tokoh Palestin yang terkorban seperti ahli strategi Yahya Ayyash (1996), pakar bom Adnan al-Ghoul (2004), ulama Nizar Rayyan (2009) dan Saleh al-Arouri (2024).

Pemimpin kanan lain yang sedang diburu rejim tersebut: Yahya Sinwar (pengganti Ismail di Gaza), Mohammed Deif (ketua Briged Izzuddin al-Qassam), Marwan Issa (orang kanan Deif), Khaled Meshaal (pemimpin biro politik sebelum Ismail) dan ahli politik Dr Mahmoud Zahar.

Tiada yang lebih mudah untuk Palestin daripada perjuangan yang menuntut pengorbanan.


Pengarang :