Pemandangan lembangan sungai di Selangor ketika kerja pemantauan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 3 Oktober 2023. Foto Facebook LUAS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Dasar Pelepasan Sifar mampu atasi isu enap cemar, kualiti sumber air

SHAH ALAM, 1 OGOS: Dasar Pelepasan Sifar atau Zero Discharge Policy (ZDP) yang diwarta pentadbiran negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 20 Jun mampu mengatasi isu enap cemar dan penurunan kualiti sumber air.

Pengarah LUAS Hasrolnizam Shaari memberitahu peraturan baharu itu menekankan kawalan pelepasan air kembalian ke dalam sungai mengikut tatacara operasi piawaian (SOP).

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari ketika temu bual khas bersama Media Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 31 Julai 2024. Foto ZAREEF MUZAMMIL/MEDIA SELANGOR

“Misalnya apabila aliran air rendah mungkin menyebabkan kualiti air dibekal pada tahap kurang baik. Bukan bermaksud air sungai banyak enap cemar atau berlaku pencemaran, tetapi kerana kurangnya air maka faktor pencairan berkurang.

“Jadi enap cemar atau bahan yang menurunkan kualiti air boleh dikawal dan tidak sepatutnya banyak dalam sungai kita. Jika usaha ini berjaya serta diberi perhatian, tidak timbul masalah sama ada ketika musim panas, kering juga aliran air rendah,” katanya.

Bercakap dalam temu bual khas bersama Media Selangor, Hasrolnizam berkata Skuad Pantas LUAS bertugas 24 jam di lapangan bagi memantau kualiti air sungai.

Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian susulan pencemaran tumpahan minyak sawit berhampiran pintu air Jalan Tangki di Pelabuhan Klang pada 5 Julai 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

“Sungai yang ada masalah kualiti akan diambil tindakan pencegahan dan pensampelan termasuk meningkatkan aliran air, melepaskan air empangan dan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK),” katanya.

Sebelum ini, EXCO alam sekitar berkata melalui ZDP semua air sisa atau efluen yang terhasil daripada aktiviti harian manusia akan dikawal, diurus dan dipastikan perlu melalui proses rawatan sebelum dilepas masuk ke sumber air.

Malah Jamaliah Jamaluddin menjelaskan dasar bagi memperkasa pengurusan sumber air negeri ini juga tidak menambah kos operasi dan menjurus kepada usaha memupuk kesedaran serta penyediaan infrastruktur alam sekitar.


Pengarang :