Cuaca hujan lebat di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pada 18 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

DBKL kenal pasti 14 lagi kawasan risiko banjir kilat, tingkat usaha elak bencana

KUALA LUMPUR 23 OGOS: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti 14 lagi kawasan hot spot banjir kilat di sekitar ibu negara dan akan mengambil langkah segera termasuk mempercepat projek mitigasi bagi mengatasi isu berkenaan.

Antara kawasan itu ialah Jalan Syed Putra, Jalan Peel, Jalan Dutamas dan Jalan Pahang, Jalan Maharajalela, Jalan Raja Chulan, Jalan Genting Kelang (Utar dan Shell), Lorong Titiwangsa 11, Jalan Pahang Barat dan Jalan Tun Razak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata pihaknya yakin dapat menangani dan mengurangkan impak bencana berkenaan menerusi langkah sama yang dijalankan di 25 lokasi hot spot sebelum ini.

“Semalam hanya satu daripada 25 hot spot ini sahaja yang banjir dan naik air, bermakna apa yang DBKL dah buat selama ini (projek tebatan banjir) telah menambah baik dalam membantu mencegah dan mengurangkan risiko banjir.

“Kawasan yang terlibat (banjir kilat) dan tanah runtuh belum lagi dilaksanakan projek mitigasi, dan sekarang menjadi potensi hot spot yang baharu. Jadi kami sedang kaji langkah segera yang terbaik boleh diambil untuk mengatasinya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan tujuh lokasi sekitar ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak petang melibatkan Segambut Bypass, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Pahang, Jalan Genting-Klang dan Jalan Dutamas, Jalan Kepong dan Jalan Kuching

Maimunah yang baru dilantik memegang jawatan itu Khamis lepas berkata pihaknya juga akan mempergiat kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir (Onsite Stormwater Detention – OSD), penyelenggaraan sungai dan parit induk secara berjadual terutama apabila musim monsun timur laut semakin menghampiri sebagai langkah pencegahan.

Beliau berkata kerja pengorekan kelodak ke atas semua kolam takungan banjir dilakukan mengikut keperluan semasa dan juga mengikut jadual berkala yang ditetapkan selain manaik taraf saliran longkang di tepi jalan.

“Perubahan iklim juga menjadi cabaran dalam mengatasi masalah ini, kalau dulu Ogos bukan musim hujan tapi sekarang sudah berubah,” katanya.

Maimunah berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga akan memperkasakan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran menerusi pasukan petugas sedia ada dalam memastikan sungai terutama yang kerap berlaku banjir diberi perhatian dan mampu menampung limpahan air.

“Kita akan map out kawasan banjir ini dan bukan sahaja cari langkah segera tetapi juga untuk jangka masa sederhana dan panjang,” katanya yang turut mahu Jawankuasa Pengurusan Insiden Awam terdiri daripada DBKL dan beberapa agensi lain mengambil langkah proaktif.

Maimunah berkata pihaknya juga bercadang menetapkan syarat bagi pemaju projek baharu untuk menggunakan Manual Saliran Mesra Alam 2.0 (MSMA 2.0 ) dan sistem saliran bandar yang mampan seperti Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS).

PBT itu juga akan memastikan kesiapsiagaan anggota penguat kuasa DBKL di lapangan selain pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di sekitar ibu kota bagi memastikan tindakan diambil segera selain mampu mengurangkan impak kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, bagi isu pokok berisiko DBKL menjalankan sebanyak 1,488 pemeriksaan pokok berisiko sejak 2019 hingga kini, melalui arboris bertauliah bagi mengenal pasti tindakan yang perlu diambil serta mengelakkan berlakunya kejadian pokok tumbang.

“Sebanyak 270 pokok berisiko telah ditebang. Bagi fasa seterusnya, sebanyak 240 pokok berisiko sekitar Kuala Lumpur sedang dalam pemeriksaan oleh arboris,” katanya sambil memberitahu sudah melantik 21 kontraktor bagi menjalankan penyelenggaraan pokok rendang bagi tempoh dua tahun.

DBKL juga akan menanam pokok lebih sesuai dengan cuaca di Malaysia antaranya boleh menahan hujan selain diselenggara dengan betul bagi memastikan keselamatan warga kota.

– BERNAMA


Pengarang :