Aksi Atlet Wushu Negeri Selangor bagi Acara Wushu Taolu Taijijian Wanita yang berlangsung di Dewan Wushu, Petra Jaya pada 14 Ogos 2024. Foto Facebook MSN Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Dua emas penutup penampilan terakhir Mandy Cebelle di SUKMA

KUCHING, 15 OGOS: Jaguh wushu Selangor Mandy Cebelle Chen menutup lembaran perjalanan Sukan Malaysia (SUKMA) beliau dengan penuh emosi apabila meraih dua pingat emas dalam penampilan terakhirnya di temasya sukan dwitahunan itu di sini hari ini.

Atlet berusia 21 tahun itu yang mengungguli saingan taijijian dan taijiquan berkata momen berkenaan penuh bermakna bagi dirinya yang bertungkus-lumus sejak awal karier dalam sukan wushu.

Beliau menyifatkan ia sebagai simbol kejayaan dan kekuatan dirinya yang mula membuat debut di pentas SUKMA di sini pada 2016.

“Jujurnya saya tidak mampu meluahkan dengan kata-kata, saya telah berusaha keras sejak hari pertama dan memandangkan ini adalah SUKMA terakhir saya, kedua-dua pingat emas ini amat bermakna.

“Kedua-dua pingat emas ini turut membantu dalam meningkatkan keyakinan dan memberikan motivasi kerana mengingatkan saya sejauh mana saya melangkah sejak mula menyertai SUKMA pada 2016,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Dewan Wushu SSC di sini.

Mandy berkata beliau mengambil keputusan mengubah keseluruhan rutin acaranya termasuk menukar muzik iringan tiga minggu sebelum SUKMA berlangsung demi menamatkan penampilannya dengan pencapaian gemilang.

“Tiga minggu lepas saya memutuskan untuk mengubah 100 peratus rutin, saya jumpa muzik ini menerusi dalam talian dan edit serta membuat kareografi dari 0 hingga 100 peratus dengan bantuan jurulatih dalam kem kebangsaan dan Selangor.

“Menukar rutin tiga minggu sebelum SUKMA bukan kerja mudah. Ia memberi cabaran pada mental dan fizikal namun syukur saya mampu mengharunginya kerana saya percaya saya mahu mengakhiri SUKMA dengan impak besar. Untuk itu, saya perlu ubah rutin saya, tingkatkan kemahiran dan saya berpuas hati dengan rutin (hari ini),” katanya.

Terdahulu, Mandy yang juga atlet pelapis kebangsaan mencatat kutipan mata tertinggi 9.606 dalam saingan final taijiquan wanita untuk mengatasi 18 pencabar lain sekali gus muncul atlet pertama memenangi dua emas pada temasya edisi kali ini.

Atlet Wilayah Persekutuan Kwan Yong Xin pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 9.600 mata sementara gangsa menjadi milik wakil tuan rumah Carmen Jia Min Chaw dengan 9.573 mata.

Semalam, Mandy menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Selangor selepas menguasai final taijijian wanita dengan pungutan mata 9.603.

– BERNAMA


Pengarang :