SHAH ALAM, 12 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang menerima lebih 1,200 permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) sejak dibuka Julai lalu.
Penyelaras DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya kini giat menjalankan saringan bagi mengisi 480 kuota ditetapkan.
“Setakat minggu lalu, kita telah luluskan separuh daripada kuota yang diberikan untuk DUN Hulu Kelang dan saringan diperketat supaya utamakan benar-benar layak.
“Bagaimanapun, bantuan keperluan lain selain BINGKAS seperti agihan bakul makanan diteruskan untuk diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada Selangorkini.
Mengulas lanjut, Juwairiya memaklumkan pejabatnya mempergiat usaha hebahan inisiatif Kerajaan Negeri yang lain ke peringkat komuniti.
“Kita dapati ada beberapa bantuan lain kurang mendapat sambutan seperti Skim Air Darul Ehsan (SADE) dan program Iltizam Sihat Selangor (ISS),” katanya.
Pada 5 Julai, EXCO Kebajikan Anfaal Saari mengumumkan syarat permohonan BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.
Menurutnya, bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan boleh dimohon sehingga 15 Ogos menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau laman sesawang www.bingkasselangor.com.
BINGKAS merupakan sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).
Bayaran bantuan berkenaan diagih menerusi aplikasi e-dompet SELangkah bagi memudahkan penerima berbelanja.