EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari bergambar bersama peserta Konvensyen Daie Muslimah Selangor (DAMAI) 2024 di Mardhiyyah Hotel and Suites, Shah Alam pada 24 Ogos 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO seru pendakwah wanita aktif sebar kebaikan, bina masyarakat harmoni

SHAH ALAM, 24 OGOS: Pendakwah wanita diseru memainkan peranan aktif dalam menyebar kebaikan ke arah membina masyarakat yang lebih harmoni.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata daie muslimah diharap dapat menonjolkan Islam sebagai agama Rahmatan lil ‘Alamin, meninggalkan perpecahan, kebencian dan fitnah.

“Saya selalu percaya daie muslimah mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam masyarakat kerana mereka secara alaminya dianggap sebagai lemah lembut, sopan santun, mendamaikan dan rahmah, maka peluang ini kita harus ambil untuk menyampaikan mesej damai dan rahmah kepada masyarakat.

“Semoga Konvensyen Daie Muslimah Selangor (DAMAI) 2024 menjadi antara platform pendakwah wanita khususnya, mengambil bahagian memberi solusi kepada masalah umat bertepatan dengan agenda pemberdayaan wanita Selangor Dasar Wanita Selangor 2024-2026,” katanya, hari ini.

Beliau berucap merasmikan Konvensyen DAMAI 2024 anjuran bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Yayasan Sofia yang mengumpulkan lebih 50 aktivis dakwah wanita.

Sementara itu, Pengarah WBS Rawiyiah Zakaria berkata konvensyen itu menjadi medan penting dalam usaha mengukuhkan peranan wanita dalam dakwah dan membina masyarakat lebih harmoni.

Katanya, WBS dengan kerjasama pelbagai institusi telah melaksanakan program yang memberi impak positif kepada komuniti wanita, termasuk program pendidikan, latihan kemahiran dan sokongan sosial.

“Terdapat 56 Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berfungsi memberdaya dan menggalakkan wanita di akar umbi bergiat aktif dalam lapangan kerja sosial selain melaksanakan aktiviti keusahawanan dan ekonomi kreatif yang boleh menjana pendapatan.

“Sejak 2021 hingga Mei lalu, sebanyak 2,712 program berjaya dilaksanakan dan program ia memberi manfaat kepada 92,919 wanita di seluruh Selangor,” katanya.

Terdahulu Anfaal turut menyampaikan Anugerah Tokoh Daie Muslimah Selangor 2024 kepada sembilan wanita susulan kejayaan mereka dalam bidang masing-masing.


Pengarang :