Pemain Bolasepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Faisal disenarai lawan Terengganu malam ini, pakai topeng khas

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pemain Selangor FC Faisal Halim disenarai sebagai pemain pada perlawanan separuh akhir Piala FA 2024 menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ, malam ini.

Mengesahkan perkara tersebut, ketua pegawai eksekutif Selangor FC berkata penyenaraian dibuat selepas Faisal disahkan pulih daripada semua kecederaan.

Menurut Dr Johan Kamal Hamidon, Faisal akan memakai topeng muka yang ditempah khas bagi memastikan kulitnya tidak berdepan geseran sekali gus mendatangkan kecederaan baharu.

“Faisal kembali disenaraikan sebagai pemain malam ini, tetapi terpulang kepada jurulatih untuk menurunkannya dalam kesebelasan utama atau hanya meletakkan dia di bangku simpanan.

“Topeng yang akan dipakai Faisal juga adalah topeng muka khas yang diperbuat daripada karbon fiber dan ditempah di sebuah hospital pakar. Ini untuk lindungi kulitnya daripada bergesel dan seterusnya berdarah,” katanya ketika dihubungi.

Johan menambah, Faisal menunjukkan keinginan untuk kembali beraksi sejak beberapa minggu lalu, malah pemain kebangsaan itu sanggup meningkatkan latihan kecerdasannya sendiri.

Beliau juga berharap penampilan Faisal pada aksi malam ini memberi semangat tambahan kepada seluruh pasukan, khususnya penyokong Selangor FC.

“Kita sasarkan untuk menang malam ini kerana malam ini adalah penting. Saya percaya penampilan Faisal akan beri semangat tambahan kepada seluruh pasukan,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya oleh individu tidak dikenali dan mengalami lecur tahap empat.


Pengarang :