Mohamad Faisal Abdul Halim. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Faisal Halim disimbah asid, Selangor FC seru penyokong doa, beri sokongan moral

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Pemain sayap Selangor FC Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang hari ini.

Perkara itu disahkan pengurus pasukan Selangor FC Mahfizul Rusydin Abdul Rashid ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Saya boleh sahkan benda ini berlaku. Insya-Allah malam ini kita keluarkan kenyataan rasmi tapi saya tak boleh komen panjang,” katanya.

Ditanya keadaan pemain berusia 26 tahun yang dikenali dengan julukan “Mickey”, Mahfizul Rusydin enggan mengulas lanjut buat masa ini bagi melindungi pemain berkenaan selain tidak mempunyai butiran.

Terdahulu, tular di laman X mengenai kejadian yang menimpa Faisal Halim yang juga merupakan pemain kebangsaan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di laman X mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet serta meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.

Setakat ini, pihak media masih menunggu pengesahan daripada pihak polis yang dijangka mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Sementara itu, Selangor FC dalam laman X rasminya memaklumkan pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan akan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sesiapa yang terlibat dalam kejadian menimpa pemain itu petang tadi

“Dukacita dimaklumkan bahawa pemain Selangor FC, Faisal Halim telah menjadi mangsa serangan asid.

“Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini,” menurut kenyataan itu.

Ini merupakan kejadian kedua menimpa pemain negara selepas pemain sayap Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Icon Residence, Kuala Terengganu.

Pada Jumaat (3 Mei), Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang berusia 25 tahun itu diserang ketika turun dari kereta selepas pulang menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) kira-kira 8.30 malam.

Beliau berkata mangsa dipukul dengan cota besi boleh laras oleh dua suspek tidak dikenali yang memakai topeng muka pakaian serta pakaian serba hitam.

Azli memaklumkan hari ini polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes samun Akhyar.

Sementara itu, presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Faisal mengalami kecederaan pada tangan kiri dan bahagian badan kirinya.

“Kondisi dia cukup saya katakan menyedihkan tapi saya berharap Faisal, isteri dan keluarga akan tabah akan dugaan ini. Bahagian kaki dia nampak baik tiada apa-apa. Bahagian tangan kiri badan belah kiri rusuk dan bahu yang tercedera.

“Saya katakan kepada dia agar melupakan seketika bola sepak dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang untuk dia sembuh sepenuhnya daripada asid yang terkena badannya,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital yang merawat Faisal hari ini.

Hamidin menyuarakan rasa kesal dan sedih atas dua insiden yang membabitkan dua pemain skuad Harimau Malaya Faisal dan Akhyar dan berharap kedua mereka diberi kesembuhan.

Beliau turut berharap individu yang terbabit dengan insiden ini dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

– BERNAMA


Pengarang :