Pemain sayap Selangor FC Faisal Halim muncul pada sesi panas badan selepas insiden simbah asid pada perlawanan aksi separuh akhir kedua Piala FA Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium Pembandaran Petaling Jaya pada 3 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Faisal Halim dijangka buat kemunculan khas perlawanan Piala Sultan Selangor

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pemain Selangor FC Faisal Halim dijangka membuat kemunculan khas pada perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) di Stadium Merdeka 17 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi dan Pengurus TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar pada majlis ramah mesra pemain pasukan pilihan Selangor bersama peminat di pusat beli belah SACC semalam.

“Saya ada berjumpa Faisal bersama pemain Selangor lain…beliau bersedia untuk beraksi pada perlawanan 17 Ogos nanti.

“Ini titik permulaan dalam karier Faisal dan sama-sama kita datang untuk beri semangat. Selain itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti pertunjukan payung terjun, bunga api dan persembahan Datuk Jamal Abdillah.

Pengerusi dan Pengurus Piala Sultan Selangor (TSSC) Tan Sri Abd Karim Munisar bersalaman bersama pemain pada majlis ramah mesra pemain pasukan pilihan Selangor dan peminat di SACC Shah Alam pada 5 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Apa yang penting dalam keghairahan menyokong perlu ada manifestasi semangat kesukanan. Memang kita sasar hendak menang, bola sepak juga menjadi platform penting untuk menyatupadukan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sempena perlawanan itu, penonton berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai RM130,000.

“Hadiah utama cabutan bertuah ialah sebuah kereta Honda City selain dua percutian empat hari tiga malam di Hotel Marriot, Kota Kinabalu Sabah dan The Noble, Melaka.

“Setakat ini, semua persiapan telah selesai dengan stadium dibaik pulih sebelum dibuka kepada orang ramai menjelang perlawanan dan latihan penuh diadakan 15 Ogos nanti.

Pengerusi dan Pengurus Piala Sultan Selangor (TSSC) Tan Sri Abd Karim Munisar bersama barisan pemain pilihan Selangor pada majlis ramah mesra pemain dan peminat di SACC Shah Alam pada 5 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Selain itu, semua 20,000 tiket bagi perlawanan ini juga habis terjual termasuk 1,500 yang dihadkan kepada penonton Singapura berikutan kapasiti stadium,” ujarnya.

Sebelum ini, siri jelajah promosi perlawanan TSSC melibatkan aksi Selangor dan Singapura diadakan di lima pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan hebahan.

Sesi jelajah bermula di Majlis Bandaraya Shah Alam pada 24 Jun, diikuti Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (9 Julai) seterusnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (15 Julai) dan Majlis Perbandaran Selayang (22 Julai).

Selain itu, jelajah khas juga diadakan syarikat penaja cabutan bertuah kereta Honda City di Tanjung Balai Group (Honda 4S Centre) Seri Kembangan pada Sabtu 13 Julai dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Untuk rekod, Stadium Merdeka sebelum ini ditutup bagi menjalani kerja pemuliharaan dan penambahbaikan yang dilaksana Permodalan Nasional Berhad (PNB) bermula 2016.

Stadium yang mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun itu pernah dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan negara, selain menjadi lokasi bersejarah pengisytiharan kemerdekaan tanah air.

Pemain pilihan Selangor pada majlis ramah mesra bersama peminat di SACC Shah Alam pada 5 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
Peminat merakam kenangan bersama pemain pilihan Selangor pada majlis ramah mesra di SACC Shah Alam pada 5 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Pengarang :