AGENDANASIONAL

Hujan berterusan sebabkan banjir, kepala air, jambatan runtuh di daerah Mualim

IPOH, 24 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak menyelamatkan sembilan mangsa yang terperangkap selepas kediaman mereka dinaiki air akibat kejadian kepala air di Kampung Pasir, Slim River di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Operasinya Sabarodzi Nor Ahmad dalam satu kenyataan berkata operasi penyelamatan dijalankan menggunakan bot fiber dan kesemua mangsa kemudian dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kg Pasir.

Hujan berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Mualim dilanda banjir dan kepala air.

Kejadian itu juga mengakibatkan Jambatan Slim Village runtuh dan ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu, beliau berkata sekurang-kurangnya 15 orang dipercayai terperangkap akibat kepala air di Risda Eco Park, Ulu Slim River, dekat Mualim dalam kejadian 6 petang semalam.

Beliau berkata kepala air dan pokok tumbang menyebabkan mereka tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan.

Bomba menerima laporan namun tidak dapat sampai ke lokasi akibat jalan runtuh tetapi melalui pemantauan kesemua mangsa berjaya berlindung di kawasan selamat.

“Air juga sudah surut dan mangsa dapat keluar dari kawasan berkenaan dalam keadaan selamat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :