Orang ramai membeli pelbagai barangan di Jualan Agro Madani KRT Taman Desa Melor dan Taman Desa Anggerik di Tapak Pasar Malam Taman Desa Melor, Serendah pada 13 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDANASIONAL

Jualan Agro Madani: 10 juta isi rumah terima manfaat, nilai penjimatan RM29.5 juta

JASIN, 24 OGOS: Pelaksanaan Program Jualan Agro Madani di seluruh negara memberi manfaat kepada 10.04 juta isi rumah membabitkan nilai penjimatan kepada pengguna bernilai RM29.5 juta, dalam tempoh 1 Jan hingga 18 Ogos lepas.

Pengarah Kanan (Pembangunan Institusi Pemasaran) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Isa Hamzah berkata dalam tempoh sama, pelaksanaan program berkenaan merekodkan nilai jualan RM98.4 juta melibatkan 4,669 kali penganjuran.

“Program Jualan Agro Madani bukan sahaja memberi manfaat kepada isi rumah tetapi juga kepada usahawan terlibat dengan jumlah 65,114 orang setakat Ogos tahun ini. Sehingga akhir tahun ini dijangka penglibatan usahawan akan turut meningkat kepada 80,000 orang.

“Pada tahun ini juga, kita menyasarkan jualan berkenaan akan dianjurkan sebanyak 5,000 kali di seluruh negara sekali gus memberi manfaat serta penjimatan kepada lebih ramai pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jualan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67@ Pasar Tani Jasin di sini hari ini,

Isa berkata penganjuran Program Jualan Agro Madani bertujuan membantu pengguna menikmati penjimatan berbelanja sekali gus mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata jualan berkenaan juga menjadi platform untuk usahawan tani memasarkan hasil tanaman dan produk keluaran mereka secara terus kepada pengguna.

Sementara itu, Nor Azhar berkata jualan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka diadakan di tujuh lokasi di sekitar negeri berkenaan bermula semalam hingga esok.

Jualan khas di Pasar Tani Lubok China diadakan semalam dan pada hari ini jualan diadakan di Pasar Tani Jasin serta Pasar Tani Masjid Tanah.

Sementara itu, jualan khas di pasar Tani Ayer Molek, Pasar Tani Merlimau, Pasar Tani Taman Maju dan Pasar Tani Alor Gajah akan diadakan esok.

Beliau berkata sebanyak 100 set Kombo Jualan Agro Madani iaitu tepung, gula, minyak dan bihun dijual pada harga RM10 selain jualan produk lain antaranya telur gred C (RM10), beras putih tempatan 10 kg (RM26) dan ayam (RM8.30 sekilogram).

“Jualan khas itu dijangka menarik kira-kira 82,000 pengunjung dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM410,000,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :