Jurulatih Silambam Selangor, Utaya Kumar Veelmurugan. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Jurulatih: Disiplin tinggi kunci kejayaan Luthrabalan, Mahendran raih emas

KUCHING, 22 OGOS: Disiplin yang tinggi menjadi kunci kejayaan dua atlet silambam Selangor meraih pingat emas kategori poruthal lelaki pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di sini hari ini.

Jurulatihnya Utaya Kumar Veelmurugan bangga dengan pencapaian Luthrabalan Parsuraman dan Mahendran Manimaran yang mempamerkan semangat juang tinggi dalam perlawanan akhir pagi tadi.

“Walaupun kedua-dua atlet ini merupakan prospek emas buat Selangor, mereka kekal konsisten berlatih keras menghadapi pertandingan di SUKMA ini.

“Kejayaan mereka berdua adalah berkat disiplin yang tinggi dan kesungguhan untuk mengharumkan nama Selangor,” katanya ketika ditemui.

Dalam aksi akhir yang berlansung di Hikmah Exchange Event Centre, Luthrabalan memperoleh 27 mata menewaskan atlet tuan rumah Asyraff Aqil Mohamad Zainurrin Azm yang hanya meraih 16 mata untuk kategori poruthal lelaki bawah 50 kg.

Sementara itu, dalam kategori poruthal lelaki 65-75 kg, Mahendran berjaya tampil dengan aksi cemerlang untuk menewaskan pencabarnya Githan Kathiresan dari Pulau Pinang dengan mata 31-18.


Pengarang :