Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tenggelam selepas terlanggar objek bawah air di kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos 2024. Foto Facebook Persatuan Abang Tanjung Penang
AGENDANASIONAL

KD Pendekar milik TLDM tenggelam sepenuhnya, 39 kru selamat

KUALA LUMPUR, 25 OGOS Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengalami kebocoran dan kebanjiran besar di kedudukan dua batu nautika di Tenggara Tanjung Penyusop, Johor tenggelam sepenuhnya pada jam 3.54 petang.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan usaha pantas komuniti maritim bagaimanapun telah berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Johor,” menurut kenyataan itu.

TLDM memaklumkan usaha menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan, selain aset TLDM juga ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran.

TLDM terdahulu mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran besar disebabkan terlanggar objek bawah air ketika sedang melaksanakan penugasan operasi jam 12 tengah hari tadi.

Susulan itu, TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca kejadian.

TLDM juga menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan maklumat insiden yang tidak sah dan perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi pasukan keselamatan itu.

– BERNAMA


Pengarang :