Angkatan Tentera Malaysia melakukan perarakan sempena ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kembara Patriotik hargai jasa perwira negara, hulur bantuan, tanya khabar

SHAH ALAM, 23 OGOS: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang akan menganjurkan Kembara Patriotik bagi menyantuni pesara tentera yang berada dalam keuzuran.

Penyelarasnya Datuk Zurihan Yusop berkata pihaknya bercadang menganjurkan program kembara itu selama tiga hari bermula minggu pertama September.

“Kita akan ke sembilan kampung dalam DUN Sijangkang dan singgah beberapa rumah pesara tentera yang sudah uzur untuk menyantuni dan bertanya khabar.

“Aktiviti ini diadakan bagi menghargai jasa bekas pejuang tentera yang banyak menabur bakti kepada tanah air selain seiring dengan sambutan merdeka,” katanya kepada Selangorkini.

Zurihan menjelaskan, menerusi lawatan itu pihaknya menyasarkan melawat kira-kira 45 pesara tentera di sembilan kampung dalam Sijangkang.

“Menerusi lawatan ini kita akan beri juga bantuan tunai, pakaian dan sijil penghargaan sebagai tanda kita menghargai jasa mereka sebagai pejuang tanah air,” katanya.

Sembilan kampung dalam DUN Sijangkang adalah Seri Cheeding; Jaya Sepakat; Jenjarom; Kebun Baharu; Batu 9 Kebun Baharu; Kampung Medan; Sijangkang; Telok Panglima Garang dan Kampung Melayu Pulau Carey.

 


Pengarang :