AGENDANASIONAL

KL, Klang, Gombak antara lokasi diramal hujan lebat hingga 6 petang

SHAH ALAM, 20 OGOS: Hujan lebat dan ribut petir diramal melanda Kuala Lumpur serta tujuh daerah di Selangor hingga 6 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan di Facebook, tujuh daerah itu ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Kuala Langat.

Amaran sama dikeluarkan di seluruh Perlis, Terengganu dan Johor selain beberapa kawasan di Kedah, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah.

MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Foto Facebook Malaysian Meteorological Department

Pengarang :